IZARA Aishah. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Sudirman Mohd Tahir


Selepas berkahwin dengan Muhammad Adib Khalid pada 17 November lalu, pelakon Izara Aishah mengakui merindui keluarganya selain belajar menerima suasana baru dalam kehidupan berumah tangga.

Izara, 25, berkata, banyak perkara baru dipelajari terutama tanggungjawab sebagai isteri yang membuatkan dirinya lebih dewasa dan matang.

“Sebelum ini saya tinggal bersama keluarga, jadi banyak masa bersama mereka. Selepas berkahwin, saya perlu ikut suami pula. Memang suasananya berbeza apabila tinggal berdua dengan suami.

“Boleh dikatakan setiap masa rindukan keluarga terutama jika teringat adik. Jadi, setiap hujung minggu saya dan suami melawat keluarga. Sekurang-kurangnya dapat melepaskan rasa rindu.

“Sejak berkahwin, diakui saya mula rasa tanggungjawab sebagai seorang wanita dewasa. Kalau dulu saya menganggap diri seperti ‘baby’ lagi. Cuma pada peringkat awal ini saya kena ‘struggle’ untuk buat semua perkara. Apatah lagi saya tidak menggunakan khidmat pembantu rumah,” katanya.

Namun, Izara menyifatkan ia sebagai satu pengalaman baru yang melengkapi lagi kehidupan rumah tangga yang dibina.

“Saya okey dan tak ada masalah buat semua kerja rumah sendiri. Malah, saya lebih suka. Alhamdulillah, suami pula senang dijaga dan urus. Dia jenis tak banyak cakap. Kalau ada permintaan pun dari segi makanan, saya memasak untuknya.

“Setiap hari memang wajib menyediakan sarapan untuknya. Makan tengah hari tak masak dan makan malam pula tengok pada keadaan. Namun, kalau boleh suami nak saya belajar memasak masakan Melayu kegemarannya dengan mak mentua,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan cahaya mata, Izara dan suami menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah.

“Kami tidak mahu merancang. Lambat atau cepat, ia ketentuan Allah. Lagipun, siapa yang tidak mahukan anak. Kalau dikurniakan awal, ia rezeki. Jika sebaliknya, saya dan suami boleh terus berbulan madu.

“Apa yang penting, jangan putus berdoa dan berusaha. Saya percaya Allah mempunyai perancangan terbaik untuk setiap hamba-Nya. Jadi, doakan saja yang baik-baik untuk kami,” katanya.

IZARA bersama suami, Muhammad Adib. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

Berkongsi mengenai kerjaya lakonanya, Izara berkata, dia akan terus berlakon dan karier berjalan seperti biasa.

Terbaru, Izara bakal terbabit dalam drama bersiri 100 episod berjudul Jodoh Jodoh Anisa lakonan bersama Aaron Aziz, Awal Ashaari, Johan As’ari, Hafreez Adam dan Amar Baharin.

“Tidak ada apa yang berubah membabitkan kerjaya seni. Cuma, dari segi masa saja yang ada batasan kerana saya perlu pertimbangkan dan bincang dengan suami apabila menerima sesebuah tawaran. Jika dia okey, saya juga perlu berbincang dengan produksi.

“Mengenai watak pula, ia tidak ada masalah. Sebelum berkahwin lagi saya sudah membataskan diri untuk tidak menjayakan watak

yang keterlaluan. Perkara ini antara sebab suami dan keluarganya selesa dengan saya. Malah, suami suka dengan prinsip bekerja saya. Mereka percaya apa saya lakukan,” katanya.

Menurut Izara, seboleh-bolehnya dia ingin terus berdikari tanpa mengharapkan suami semata-mata.

“Dari dahulu lagi saya seorang yang berdikari. Jadi, selepas berkahwin pun kalau boleh saya nak terus bekerja dan ada pendapatan sendiri. Saya puas dan gembira dapat buat apa yang diingini. Alhamdulillah, saya diberikan rezeki ke arah itu.

“Namun, keluarga tetap nombor satu. Malah ketika masih bujang pun, saya tidak pernah membelakangkan mereka. Jadi, selepas berkahwin tanggungjawab dan keutamaan saya bertambah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 2:00 AM