Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


Selebriti dan juga ahli perniagaan, Nur Sajat Kamaruz Zaman menolak tawaran untuk digandingkan dengan dua hero popular, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie dan Datuk Aaron Aziz bagi menjayakan filem terbaru Operasi X.

Filem Operasi X yang bakal menjalani penggambaran pada awal Januari depan, turut membariskan beberapa lagi aktor hebat antaranya Datuk Rosyam Nor dan Datuk Yusof Haslam.

Dihubungi di sini hari ini, kata Sajat, dia sangat berbesar hati apabila pihak penerbitan filem Operasi X menawarkan watak kepadanya.

“Saya difahamkan filem bertema aksi itu akan menampilkan saya sebagai rakan perisikan bersama dengan Awie, ibaratnya saya yang mengajarnya bagaimana untuk melaksanakan satu tugas risikan.

“Jujur saya memang berminat untuk membintangi filem itu, apatah lagi ia turut membariskan ramai pelakon nama besar dan hebat,” katanya.

Bagaimanapun jelas Sajat, dia terpaksa menolak tawaran terbabit kerana terikat dengan beberapa komitmen pada Januari.

Kata selebriti yang pernah tampil dalam filem Ophilia itu, pihak penerbitan mahu melakukan penggambaran pada 4 Januari di Pulau Pinang, sedangkan dalam waktu sama dia harus menyelesaikan urusan perasmian wisma miliknya di Shah Alam, pada 20 Januari.

“Dalam tempoh itu banyak perkara yang perlu saya berikan perhatian termasuklah urusan hiasan dalaman dan juga kedai emas yang akan mula beroperasi pada awal Januari.

“Bukan itu saja, seperti yang umum tahu saya juga akan muncul dengan single solo pertama, Makhluk Penggoda yang turut menampilkan rakan baik saya Datuk Aliff Syukri,” katanya.

Kata Sajat lagi, syarikat rakamannya Indigital Sdn Bhd, telah mengaturkan satu sidang media dan sesi rakaman video liriknya pada pertengahan Januari dan disebabkan kesibukkannya itu membuatkan dia tidak dapat menerima tawaran membintangi Operasi X.

“Saya anggap rezeki tidak berpihak kepada saya walaupun waktu sama memang saya sangat berminat untuk beraksi di samping Awie dan Aaron. Saya tidak boleh tamak untuk melakukan semua perkara dalam satu masa kerana bimbang yang dikejar tak dapat dan dikendong berciciran,” katanya.

Sajat juga merakamkan ucapan terima kasih dan maaf kepada pihak produksi filem terbabit yang telah menawarkannya watak dan membintangi filem itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 3:15 PM