Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


“ABANG dah pergi tinggalkan abah. Abang adalah anak yang paling baik yang akan dikenang sampai bila-bila," kata Rosli Mihat, 49, yang kehilangan anak lelakinya, Muhammad Syafiq, 15, yang lemas bersama dua rakan di Sungai Pedas, berhampiran Kampung Merbau 9, Rembau, semalam.

Pada kejadian 6.40 petang, dua lagi mangsa, Muhammad Iqqmal Haziq Muhammad Nozili, 12, dan Muhamad Alias M Sadri, 15, turut lemas, manakala, seorang rakan mereka, Haikal Najmi Azhar, 15, terselamat.

Keempat-empat remaja itu dikatakan datang ke sungai berkenaan 4 petang untuk menjala ikan dan mandi bersama.

Rosli berkata, dia mengetahui kejadian 7 petang sebaik diberitahu Pengerusi Taman Pinggiran Pedas, di rumahnya.

"Apabila dimaklumkan sedemikian, jantung ini seperti mahu luruh," katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban, bagi tujuan bedah siasat mayat, hari ini.

Menurut Rosli, kali terakhir dia bertemu anak kedua dari tiga beradik itu pada 4 petang sebaik rakan-rakannya datang ke rumah.

"Pada sebelah pagi arwah menunjukkan perubahan apabila memarahi saya sepuas hati sedangkan dia bukanlah panas baran. Dia melemparkan perasaan selepas mendakwa saya kuat membebel," katanya.


JENAZAH seorang daripada mangsa lemas Muhammad Alias M Sadri, 15, dibawa keluar dari bilik mayat Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) ke tanah Perkuburan Islam Mungkil, Rembau. FOTO Adzlan Sidek

Bekas pemandu lori itu berkata, arwah banyak membantunya selepas dia diserang strok separuh badan, dua tahun lalu.

"Sepanjang saya sakit, abang yang banyak membantu termasuk ke kedai, mengangkat tong gas, mengurut belakang badan dan buat kerja rumah. Saya sangat sedih kehilangan anak lelaki pertama," katanya.

Menurutnya lagi, arwah sepatutnya memulakan sesi persekolahan baru di tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pedas, hari ini.

"Arwah begitu bersemangat untuk bersekolah dan saya sudah membelikan satu set pakaian baru untuknya," katanya.

Menurut Rosdi, pada 4.30 petang, dia mencari anaknya untuk membeli satu lagi set uniform baru, namun panggilan telefon anaknya tidak dijawab.

"Saya reda dan Allah SWT lebih menyayanginya," katanya memberitahu jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Sepri, di sini.


IBU kepada jenazah mangsa lemas, Halimah Ramli, (kiri) menaiki van jenazah bersama jenazah anaknya Muhammad Alias M. Sadri, 15, ketika dibawa keluar di bilik mayat Hospital Tuanku Ja'afar untuk dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Mungkal, Rembau. FOTO Adzlan Sidek

Sementara itu bapa Muhamad Alias iaitu M Sadri Yaakob, 46 berkata, kali terakhir dia berjumpa anaknya adalah 11 pagi semalam sebaik remaja itu keluar rumah.

Katanya, dia tidak mengetahui arwah menjala ikan tetapi sekadar diberitahu anaknya mahu bertemu kawan-kawan.

Menurutnya, anak keempat dari enam beradik itu pelajar tahfiz di Kuala Sawah, di sini, tahun lalu sebelum meneruskan pelajaran di SMK Pedas.

"Saya mendapat tahu kejadian apabila dimaklumkan jiran pada 7 petang. Ketika itu saya seperti mahu pitam dan tidak berselera makan," katanya.

Menurutnya, arwah juga sudah membuat persiapan untuk bersekolah namun hasratnya tidak kesampaian.

Sementara itu, di perkarangan bilik mayat HTJ menyaksikan ahli keluarga Muhamad Alias menangisi pemergiannya malah ibu remaja itu juga pitam beberapa kali.


NENEK kepada jenazah seorang daripada mangsa lemas Muhammad Alias M Sadri, 15, tidak dapat menahan sebak ketika di bilik mayat Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban. FOTO Adzlan Sidek

Berita berkaitan

Syafiq dan Alis ditemui

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 4:25 PM