Najdi (kanan) tarik diri dari Unic kerana bergaduh dengan Bazli (tengah). FOTO Arkib NSTP.
Amirul Haswendy Ashari.


ANGGOTA Unic, Wan Najdi Wan Mohd Noh, 26, akui ada masalah dengan Bazli Hazwan Che Osman hingga membuat keputusan menarik diri dari kumpulan yang turut dianggotai Fakhrul Radhi Khamarudin.

Waktu sama, Najdi tidak akan bersama Bazli dan Fakhrul di pentas akhir Anugerah Nasyid 2017 (AN2017) yang bakal berlangsung Sabtu ini.

Kata Nadji, kesabarannya sudah mencapai had dan berharap keputusan itu memberi keselesaan kepada perjalanan kerjaya Unic selepas ini.

“Saya mahu tarik diri sebab ada isu. Sebenarnya saya bergaduh dengan Bazli. Tak tahu nak cakap macam mana.

“Isu ini sudah lama dan saya rasa bekerja dengan Bazli sangat sukar sebab dia seorang yang suka cakap lepas. Bagaimanapun, saya tiada masalah dengan Fakhrul,” katanya kepada Harian Metro.

Nadji yang juga bekas peserta Imam Muda musim kedua akui sudah lama tidak bercakap dengan Bazli.

Katanya, mereka yang berada dalam situasinya boleh faham kenapa dia terpaksa mengambil keputusan itu.

Perkara ini mula diketahui peminat selepas Najdi memuat naik perbualan mengenai keputusan tarik diri daripada menyertai AN2017 di laman sosial Instagram miliknya, semalam.

Bagaimanapun, Najdi tidak memberi jawapan atas keputusan dibuat sehinggalah dihubungi sebentar tadi dan mengakui ada masalah dengan Bazli.

Najdi menyertai Unic dua tahun lalu menggantikan Mohamad Fitri Haris, Wan Sharifuddin dan Mohd Afendi Jahri yang menjadi anggota Unic sejak ditubuhkan pada 2002.

Gandingan Najdi, Bazli dan Fakhrul membawa kejayaan kepada Unic untuk menjuarai program Gema Gegar Vaganza (GGV) tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 4:21 PM