Izlaily Nurul Ain Hussein & Azren Jamaludin
izlaily@hmetro.com.my


“NENEK, Ibnu rasanya macam nak jalan jugak. Tak tau nak pergi mana,” itu cerita Bechik Kedasek, 73, mengenai perbualan terakhir dengan arwah cucunya.

Bechik Kadasek, 73, berkata arwah cucunya, Allahyarham Ibnu Ahmad Ahmad Nais, 16, bertanyakan tarikh arwah atuknya meninggal dunia.

“Dia tanya...nenek, bila Mok meninggal? Dia panggil atuk dia Mok.


FOTO Mohd Azren Jamaludin

“Saya beritahu Mok meninggal dunia 14 haribulan 9. Selepas itu, kata dia pada saya, rasanya macam nak jalan jugak.

“Saya tak faham cakap dia. Macam gurau saja. Tapi sejak balik sekolah, dia asyik cakap saja,” kata Bechik ketika ditemui di rumahnya di Kampung Maju Jaya, Pekan Nanas.

Ibnu Ahmad adalah antara dua remaja yang terbunuh dalam kemalangan di di Kilometer 1.3, Jalan Sawah Ulu Pulai, Pekan Nanas, Pontian, 10.35 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abd Rahman, berkata kemalangan membabitkan empat basikal dengan kereta.

Katanya, kemalangan berlaku apabila kereta dari Ulu Pulai menuju ke Pekan Nenas memotong kenderaan di depannya sebelum merempuh empat remaja berbasikal itu.

“Dua daripadanya maut manakala dua lagi cedera. Mangsa terdiri remaja belasan tahun yang ketika itu sedang berbasikal dari arah Pekan Nenas ke Ulu Pulai.

“Akibat rempuhan itu, dua daripada mereka tercampak dan melambung beberapa meter ke atas jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, tiga daripada penunggang basikal itu adalah pelajar di Pekan Nenas, manakala seorang lagi berusia 14 tahun tidak bersekolah.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


SEORANG daripada mangsa kemalangan basikal dan kereta dirawat di Hospital Pontian selepas patah pada bahagian bahu kiri. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Sementara itu, saksi yang juga penduduk, Fazli Hashim, 36, dia mendengar dentuman kuat akibat rempuhan itu sebelum melihat satu basikal melambung tinggi.

“SAYA berada di warung tak jauh dari lokasi kejadian dan nampak arwah bertiga dengan rakannya berbasikal.

“Tiba-tiba saya saya dengar bunyi dentuman kuat dan apabila saya toleh, satu basikal melambung tinggi.

“Saya terus ke tempat kejadian dan pada mulanya nampak seorang daripada mereka berdiri dan tak cedera.

“Tapi, selepas kami menyuluh lampu ke parit berhampiran, nampak seorang lagi tertiarap dalam parit dengan kepala berdarah.

“Seorang lagi mangsa ditemui agak jauh kerana tercampak dari lokasi kejadian ke dalam parit.

“Kereta itu saya nampak dari Kulai nak ke Pekan Nanas. Saya ada bertanyakan pemandu itu mengenai cara dia memandu.

“Pemandu itu memberitahu dia mahu cepat ke Pekan Nanas," kata Fazli.

Fazli menjelaskan, empat remaja itu baru pulang daripada perjumpaan kumpulan kompang yang baru ditubuhkan di rumah tidak jauh dari lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 10:32 AM
SEORANG daripada mangsa kemalangan basikal dan kereta dirawat di Hospital Pontian selepas patah pada bahagian bahu kiri. FOTO Mohd Azren Jamaludin
FOTO Mohd Azren Jamaludin
FOTO Mohd Azren Jamaludin