MUHAMMAD Shukri gigih mencuci kereta pelanggan di premis mencuci kereta yang diusahakannya di Taman Limbongan Permai, Lorong Pandan. FOTO Mohamad Yatim Latip
Mohamad Yatim Latip
am@hmetro.com.my

Melaka: Apabila bergelar graduan, perkara paling dibimbangi adalah berdepan kemungkinan menganggur. Namun bagi graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor, Muhammad Shukri Shaudin, 25, dia tidak pernah terfikir untuk menunggu panggilan pekerjaan, sebaliknya melakukan apa juga pekerjaan biarpun tidak sepadan pendidikannya.

Muhammad Shukri, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan, kini mengusahakan sendiri perkhidmatan mencuci kenderaan.

Begitupun, beliau yang baru menggenggam segulung ijazah Januari tahun lalu, memulakan alam pekerjaan di pusat telekomunikasi iaitu di pusat panggilan (call centre), sebelum bertukar kepada pembantu kantin.

“Saya bekerja sebagai pembantu kantin hanya sebulan setengah dan bertukar kerja sebagai eksekutif di sebuah kilang. Dengan kilang itu, saya hanya bekerja selama enam bulan dan ambil keputusan berhenti kerana tidak larat dengan tugasan yang memerlukan saya mengembara ke luar Melaka,” katanya yang tidak pernah berasa mahu berehat menanti panggilan pekerjaan yang dimohon.

Muhammad Shukri berkata, selepas berhenti pada November lalu, dia memulakan perusahaan perkhidmatan mencuci kereta pada Disember lalu di Taman Limbongan Permai, Lorong Pandan, di sini.


MUHAMMAD Shukri mencuci setiap kenderaan pelanggan secara berseorangan. FOTO Mohamad Yatim

Menurutnya, segala pekerjaan dilakukan sebelum ini dianggap sebagai langkah menimba ilmu dan pengalaman biarpun tidak sesuai dengan jiwanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, pengalaman kerja diperolehnya di beberapa tempat itu secara tidak langsung mendidiknya menghargai dan lebih mengenali erti kesusahan dilalui orang lain, selain dapat meningkatkan dedikasi serta jati diri.

“Saya bersyukur kerana setakat ini, ibu dan ayah tidak pernah memaksa mahupun mendesak saya dalam soal mencari pekerjaan kerana bagi mereka, biar saya berusaha sendiri dengan syarat setiap kerja saya lakukan mestilah ikhlas dan ada keberkatan,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini, dia mencuci setiap kenderaan pelanggan secara berseorangan memandangkan masih baru menceburi perniagaan berkenaan dan tidak mampu mengupah pembantu.

Katanya, dia amat menghargai budi baik pemilik bengkel membaiki kereta bersebelahan yang memberinya peluang menjalankan pekerjaan mencuci kereta atas tapak pemilik bengkel terbabit tanpa menetapkan sewa tertentu buat masa ini.

“Saya turut terharu dengan sikap pemilik bengkel yang membenarkan saya menggunakan segala peralatan mencuci kereta kecuali bahan pencuci dan lain-lain, yang saya beli sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 5:16 AM