ALIF Sleeq. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my

Dua tahun bekerja sepenuh masa di belakang tabir menerbitkan lagu untuk rakan artis, Alif Sleeq kini tampil dengan lagu baru berjudul Buat Selamanya.

Itu buah tangan pertama jejaka ini sejak bergerak solo.

Sejak awal pembabitan dalam arena muzik, Alif berazam memberikan kelainan dan perubahan baru pada industri muzik tempatan. Dia berharap lagu baru itu dapat merealisasikan impiannya.

Bagaimanapun, Alif mengakui bimbang sekiranya naskhah terbabit tidak diterima pendengar. Namun, ia tidak melemahkan semangatnya untuk terus menghasilkan karya bermutu.

“Saya ‘hilang’ kerana sibuk menerbitkan lagu untuk penyanyi lain. Saya ambil berat kerjaya nyanyian mereka seolah-olah ia adalah karier saya juga. Sebagai contoh, saya tidak hanya hasilkan lagu untuk Kaka tetapi juga masuk campur dalam imej, pakaian dan pembikinan muzik video. Bukan saja-saja menyibuk tetapi kerana ia adalah lagu saya.

“Sebab itulah saya lama senyap. Kini kembali dengan karya yang saya rasa mampu memberikan kelainan terhadap industri muzik. Saya percaya lagu Buat Selamanya boleh pergi jauh.

“Sebenarnya bimbang juga jika ia tidak mendapat sambutan tetapi syukur apabila ia dimuat naik ke YouTube, ramai beri komen positif,” katanya.

Menurut Alif, dia mahu melihat tahap lagu Melayu sebaris karya dendangan penyanyi antarabangsa. Sebagai penyanyi dan individu yang bekerja di belakang tabir, dia mahu menjadi antara anak seni yang mampu membawa perubahan kepada industri.

Kata Alif, andai memuat naik satu gambar setiap hari di Instagram itu dianggap relevan, begitu jugalah seharusnya yang perlu dilakukan untuk memajukan industri seni suara.

Alif juga berkata, ada segelintir individu yang meminta dia menghasilkan lagu sama seperti yang didendangkan Haqiem Rusli dan Aiman Tino.

Mengakui turut meminati dua penyanyi muda itu, Alif bagaimanapun menyerahkan pembikinan lagu sedemikian kepada yang lebih pakar.

Katanya, biarlah mereka meneruskan kepakaran itu manakala dia terus menghasilkan genre muzik berbeza.

“Saya kagum dan tabik kepada penyanyi baru seperti Haqiem Rusli dan Aiman Tino. Mereka membawa kembali nostalgia ketika industri berkembang dengan genre lagu seperti yang mereka nyanyikan.

“Saya sendiri membesar dengan genre lagu seperti itu walaupun jiwa cenderung dengan melodi berbeza. Saya boleh hasilkan lagu seperti itu tetapi sudah ada yang pakar.

“Saya tidak mahu kacau periuk nasi mereka. Dengan itu saya bolehlah memberikan kelainan kepada industri muzik dengan menawarkan lagu berbeza. Dengan itu industri kita akan lebih berwarna-warni,” katanya.

Bercerita mengenai lagu baharunya itu, Alif berkata, ia mengisahkan kisah cinta dan kepercayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 3:21 AM