SUSPEK yang menyamar sebagai 'Sarjan Faiz'.FOTO ihsan Polis
Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my


LELAKI menyamar 'Sarjan Faiz' kini ditahan reman selama lima hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands untuk membantu siasatan kes cabul gadis bawah umur di Brinchang, tahun lalu.

Harian Metro dimaklumkan, selepas tempoh tahanan reman selama 12 hari terhadapnya untuk siasatan mengikut Seksyen 363 dan 170 Kanun Keseksaan kerana menculik serta menyamar sebagai penjawat awam di IPD Raub berakhir semalam, suspek terbabit terus dibawa ke IPD Cameron Highlands.

Sebelum ini, suspek berusia 32 tahun terbabit ditahan untuk siasatan lanjut kerana melarikan gadis berusia 17 tahun, Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi dari rumahnya di Kampung Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub, pada 27 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Superintendan Hasadid A Hamid berkata, suspek yang berasal dari Taman Bukit Indah, Bentong, ditahan untuk siasatan sehingga 16 Januari ini mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul gadis berusia 16 tahun.

"Siasatan bersangkut kes di Brinchang, Cameron Highlands, tahun lalu yang mana lelaki ini disyaki suspek utama kejadian itu.

"Selain itu, dia juga disiasat dalam kes menyamar sebagai penjawat awam," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan pihaknya terhadap suspek terbabit mengikut Seksyen 363 dan 170 Kanun keseksaan selesai dan kertas siasatan sudah dihantar kepada pihak pendakwaan.

"Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut terhadap pembabitannya dalam satu kes penipuan di daerah ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Selepas tamat tempoh tahanan remannya di IPD Cameron Highlands, kita akan bawa dia semula ke sini (IPD Raub)," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kehilangan Nur Syaminn selepas dia dikatakan dibawa suspek terbabit konon untuk membantu mengambil motosikal yang dibeli di pekan Sungai Ruan dengan meminta izin daripada ibu mangsa di rumahnya kira-kira 11 pagi pada 27 Disember tahun lalu.

Pada jam 3 petang hari sama, Nur Syaminn menghubungi Wan Maziah memaklumkan dia berada di Gua Musang, Kelantan, bersama suspek mengaku anggota Balai Polis Sungai Ruan itu sebelum talian dimatikan.

Gadis berkenaan kemudian ditemui selamat di stesen bas di Raub pada 11.05 pagi pada 29 Disember tahun lalu selepas menaiki bas dari Kuala Lumpur dan dibawa polis untuk siasatan lanjut.

Selepas 10 hari menjadi buruan, suspek terbabit akhirnya diberkas Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman di dalam kereta Proton Satria di depan hotel di Jalan Dr Nazrin Shah, Ipoh, pada2.05 pagi, 6 Januari lalu.

Suspek kemudian dibawa ke IPD Raub dan ditahan reman selama empat hari untuk siasatan sebelum tempoh berkenaan dilanjutkan sehingga semalam.

Berita berkaitan

'Sarjan Faiz' ajak kawin, kebas barang kemas

'Sarjan Faiz' kena cekup depan hotel

Bala dah dekat dah 'Sarjan Faiz'!

Naik bas pulang ke Raub

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 2:23 PM