MAYAT lelaki yang diikat dan dibungkus dengan kanvas ditemui orang awam di tiang konkrit Jeti Barter Trade, Jalan Asa Niaga, Pelabuhan Klang hari ini.
Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my


MAYAT lelaki yang diikat dan dibungkus dengan kanvas ditemui orang awam di dalam sungai berhampiran tiang konkrit Jeti Barter Trade, Jalan Asa Niaga, Pelabuhan Klang hari ini.

Mayat lelaki berusia 30-an itu ditemui orang awam pada 8.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pemeriksaan forensik mendapati terdapat besi dan seketul batu diikat di bahagian belakang dan kaki mayat berkenaan.

Beliau berkata, tiada sebarang identiti ditemui pada tubuh mayat yang dipercayai sudah mati lebih 72 jam itu.

"Siasatan pasukan forensik mendapati mayat ini ditemui dalam keadaan tidak berbaju, berseluar panjang, berkasut sarung kelabu serta berstoking pendek.

"Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain dan arus laut membawa mayat ke lokasi itu," katanya hari ini.

Shamsul Amar berkata, ketika ditemui mayat yang dibungkus dengan kanvas biru itu dililit dengan tali nilon.

Katanya, bahagian muka dan kedua-dua tangan mangsa terkeluar.

"Batu yang diikat pada mayat itu dipercayai bertujuan menenggelamkannya.

"Mayat dihantar ke Hospital Shah Alam dan bedah siasat akan dijalankan jam 10 pagi esok," katanya.

Menurutnya, motif kejadian belum diketahui dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 7:38 PM