Diana hadir di Mahkamah Petaling Jaya pagi tadi. FOTO Eizairi Shamsudin.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Datin Diana Danielle, 26, yang hadir pada hari keputusan pendakwaan suamianya, Datuk Farid Kamil di Mahkamah Petaling Jaya pagi tadi, enggan mengulas lanjut.

Hadir mengenakan baju kurung kapas corak bunga-bunga, Diana hanya berdiam diri ketika diajukan soalan oleh pihak media. Sesekali Diana hanya melemparkan senyuman.

Wartawan Harian Metro yang berjalan sebelah Diana menuju ke kamar pengadilan sempat berbisik kepada pelakon filem Hanyut itu agar tabah dan kuat.

Tanpa menjawab, Diana hanya mengangguk tanda faham apa yang dimaksudkan. Dalam kamar pengadilan, Harian Metro sempat bercakap dengan Diana.

“No, no, no. Buat masa sekarang saya belum boleh memberi sebarang kenyataan. Terima kasih kerana sudi hadir.

“Saya hanya nak keluar dari sini. Ada jalan lain untuk saya tanpa perlu berdepan dengan pihak media?” katanya.

Ini kali pertama Diana hadir sejak Farid ditahan Khamis lalu. Turut kelihatan, adik Farid, Fadzil Zahari.

Usaha mendapatkan kenyataan lanjut daripada Diana gagal apabila dia terus meninggalkan kompleks mahkamah menaiki kenderaan pacuan empat roda yang dipandu pembantu peribadinya.

Sebelumnya, Farid yang sempat ditemubual Harian Metro berkata, dia sayangkan Diana dan rindukan dua anaknya, Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 3.

Dalam perbicaraan itu, Farid didakwa atas empat pertuduhan termasuk menampar anggota polis trafik di Balai Polis Kota Damansara, Khamis lalu.

Bagaimanapun, Farid, 37, yang memakai baju-T berwarna kelabu mohon dibicara selepas semua pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Namun, peguam bela Athari Bahardi yang mewakili Farid dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan RM8,000 bagi semua pertuduhan.

Semua pertuduhan akan disebut semula pada 5 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 12:47 PM