10 jenis nasi yang dimasak Muhammad Syukri dan lauk yang dihidangkan untuk tetamu pada majlis persandingannya di Kampung Melayu Sungai Lui 2, Raub, 13 Januari lalu. FOTO ihsan Muhammad Syukri
Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


"SAYA tidak kisah memakai pakaian yang murah, asalkan makanan yang disediakan terbaik dan sedap serta menggembirakan tetamu.”

Demikian kata seorang pengantin lelaki yang sanggup memasak sendiri 10 jenis nasi selama empat jam pada sebelah pagi hari majlis persandingannya untuk disajikan kepada 2,000 tetamu.

Muhammad Syukri Addnan, 28, berkata, dia hanya memakai pakaian berharga RM150, manakala isterinya, RM250, tetapi membelanjakan RM9,000 untuk makanan kepada tetamu.

Dia yang mengusahakan syarikat katering bersama keluarganya, ANAC Katering Enterprise sangat berpuas hati kerana tetamu yang hadir pada 13 Januari lalu gembira dengan makanan yang dihidangkan.

"Idea itu sebenarnya untuk saya menghargai pelanggan di sekitar Raub (Pahang) selain untuk mereka mencuba keenakan pelbagai jenis nasi yang kami boleh sediakan.

"Sebelum itu, saya umum dalam Facebook (FB) untuk menjemput semua orang datang ke majlis persandingan kami di Kampung Melayu Sungai Lui 2, Raub," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Syukri berkata, dia mula mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak kesemua jenis nasi empat hari sebelum majlis.

Dia menggunakan 97 kilogram (kg) beras untuk memasak Nasi Hujan Panas, Nasi Jagung, Nasi Serai, Nasi Beriani, Nasi Arab, Nasi Minyak, Nasi Tomato, Nasi Keduli, Nasi Lobak dan Nasi Putih.

"Saya belajar memasak daripada ibu saya, Norazizah Ahad, 60, yang memang suka dan pandai memasak serta kebolehan ini mungkin diwarisi daripadanya.

"Lagi satu, saya juga ikut gaya ayah saya, Addnan Md Amin, 63, yang akan sediakan makanan yang agak 'mewah' untuk tetamu dalam apa saja majlis," katanya yang menikahi isteri, Nazirah Mokhtar, 22, pada 30 Disember 2017.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu juga bersyukur kerana makanan yang disediakan mencukupi dan habis sebaik majlis berakhir pada 3.30 petang.

"Selain daripada 10 jenis nasi, saya menyediakan tujuh jenis lauk dan enam jenis air berperisa untuk tetamu dan Alhamdulillah, tiada pembaziran berlaku kerana semuanya habis dan cukup.

"Saya tidak kisah keluarkan belanja banyak untuk penyediaan makanan majlis kedua-dua pihak ini kerana kalau makan, kita akan kenyang dan ini juga adalah satu daripada cara untuk bersedekah," katanya.

Dalam masa saya, Muhammad Syukri juga gembira kerana menerima banyak komen yang positif daripada tetamu selain ada yang mendoakan mereka murah rezeki dan bahagia dalam perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 10:51 PM