LONGGOKAN sampah yang dibuang merata tempat di PPR Sri Pantai. FOTO Saddam Yusoff
Siti Fatimah Nasir
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, di sini, menyambut baik cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk memasang jaring dan menyita kediaman penduduk jika terdapat bukti mereka membuang sampah atau sebarang objek dari tingkat atas.

Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sri Pantai Tusiah Sino berkata, cadangan memasang jaring dan tindakan menyita kediaman itu dilihat satu langkah baik bagi mengurangkan kemalangan serta vandalisme di kawasan berkenaan.

“Walaupun sudah ditegur dan amaran dikeluarkan kepada penduduk supaya tidak membaling atau membuang apa-apa objek dari atas, namun arahan itu tetap tidak diendahkan.

“Sebagai pengerusi, saya kesal terhadap penduduk yang ingkar mendengar arahan sehingga berlakunya kejadian yang meragut nyawa semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kelmarin, seorang remaja, S Sathiswaran, 15, maut selepas terkena kerusi pejabat yang dibuang dari tingkat 21 Blok 102, PPR Sri Pantai.

Sehingga kini, individu yang membuang objek terbabit belum dikenal pasti.

Tinjauan Harian Metro di sekitar lokasi berkenaan, semalam, mendapati terdapat banyak longgokan sampah yang dibuang di merata tempat termasuk di setiap aras tingkat dan di kawasan bawah yang dipercayai dibuang dari tingkat atas.

Penduduk, Abdul Hamid Ibrahim, 60, berkata, kurangnya pendidikan sivik menjadi pendorong segelintir penduduk gemar membaling sampah yang dicampak dari tingkat atas.

“DBKL seharusnya kerap melakukan pemantauan di kawasan ini dan memasang jaring atau tembok dengan segera bagi mengelak kejadian sama daripada berulang.

“Ini bukan kejadian kali pertama, malah sebelum ini juga sudah banyak berlaku di mana penduduk terkena objek yang dibaling dari atas seperti botol kaca, bateri kereta, tin, tangga kayu, kunci mangga dan batu bata,” katanya yang menetap di situ sejak 10 tahun lalu.

Seorang lagi penduduk, Siti Hayati Ramli, 58, berkata, penduduk PPR Sri Pantai perlu mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku dan tidak lagi membaling objek dari tingkat atas.

“Tahun lalu, saya nyaris terkena botol kicap dan bateri kereta yang melayang dari tingkat atas dan mujur tidak terkena kepala.

“Bukan itu saja, rumah saya juga pernah dimasuki objek yang melayang dari atas hingga menyebabkan tingkap rumah pecah,” katanya.

Berita berkaitan

Polis ambil sample DNA

Kerusi dilempar dari atas bunuh remaja [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 5:45 AM