Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

MANGSA ragut di Machang yang koma sejak minggu lalu, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian 9.25 pagi ini.

Maria Erianty Zakaria, 40, menghembuskan nafas terakhir selepas lapan hari tidak sedarkan diri akibat parah di kepala.

Dalam kejadian pada 10 Januari lalu itu,mangsa parah selepas terjatuh motosikal akibat diragut dua beradik lelaki.

Mangsa yang tidak sedarkan diri dirawat di Hospital Machang sebelum dirujuk ke HUSM Kubang Kerian.

Suaminya, Mohd Zairie Mohamad Zain, 48, berkata, kini jenazah isterinya masih dibedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematiannya.

"Selepas jalani pembedahan membuang darah beku di kepala pada 11 Januari lalu, keadaan isteri stabil, cuma tekanan darahnya tidak stabil dan kadang-kala naik mendadak.

"Bagaimanapun secara tiba-tiba keadaannya berubah sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir pagi ini.

"Pemergiaannya amat dirasai terutama empat anak namun kami reda dengan ketentuan Ilahi," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, jenazah isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Hutan Rebana, Machang selepas Asar nanti," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dalam kejadian 6.30 petang itu, Maria Erianty yang dalam perjalanan pulang dari aktiviti senamrobik, parah di kepala dan patah tangan kiri akibat diragut dua beradik di Kampung Sri Rabana, Machang.

Dua beradik berusia 26 tahun dan 14 tahun yang meragut mangsa itu ditahan sejurus kejadian dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 12:10 PM