Mazizul Dani

Walaupun kecil, gaya dan aksinya meluncur cukup lincah dan agresif umpama orang dewasa.

Finn Nuriman Amri, 7, bukan seperti kanak-kanak yang lain kerana taman permainannya setiap hari ialah skatepark bertemankan papan selaju atau skateboard.

Riak wajahnya cukup serius dan fokus setiap kali melakukan 'trick' untuk melepasi halangan. Sekali-sekala, dia kelihatan geram dan marah kerana gagal mendarat dengan baik.

Namun, ketika temubual bersama bapanya, Nuriman Amri Abdul Manap, 40, Finn yang juga anak bongsu daripada dua beradik sebenarnya cukup lucu dan penuh karakter.

Telatahnya sangat menghiburkan kerana gemar mengajuk dan pandai bergurau, cukup berbeza ketika dia meluncur dengan skateboard.

Menurut Nuriman, Finn sudah di dedahkan dengan sukan skateboard sejak berusia setahun 10 bulan dan pandai melakukan trick ketika berusia dua tahun setengah.

"Pada peringkat awal, Finn bermula dengan pengenalan kepada skateboard iaitu mempelajari dan membiasakan diri dengan pergerakan badan.

"Umur dua tahun setengah dia dah mula meluncur dan umur tiga tahun dia dah ada trick seperti drop down, manual pad, tic tac up and down," katanya yang bekerja sebagai guru seni.

Nuriman berkata, pada usia enam tahun, Finn sudah pandai melakukan trick lain antaranya pop-shuvit frontside and backside, ollie up and down, 180 backside and frontside dan turun dari ketinggian lapan kaki.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cita-citanya, Finn yang juga murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Tiara Permai, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur berkata yang dia mahu menjadi askar.

"Dah besar nak jadi askar. Sekarang suka main skate. Cikgu dengan kawan-kawan kat sekolah tak tahu pun saya boleh main skate," katanya.

Keberanian Finn melakukan pelbagai trick sebenarnya turut di dorong oleh abangnya, Ian, 11, yang juga juara Adrenaline Fest 2017 kategori terbuka pada Disember lalu selepas menewaskan peluncur yang lebih senior.

Bercerita pula mengenai Ian, murid tahun lima ini sudah menetapkan matlamat yang jelas kerana katanya, satu hari nanti, dia mahu bergelar peluncur profesional.

"Saya mula bermain skateboard sejak usia empat tahun. Sekarang ini saya dah boleh buat lebih 100 tricks.

"Memang setiap hari suka main skateboard, ada juga kawan-kawan di sekolah nak main, tetapi mereka tak ada papan (skateboard)," katanya.

Sebenarnya, peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan tiga beranak ini ialah ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.

Nuriman sendiri mula bermain skateboard sejak berusia 12 tahun dan pernah menyertai dan memenangi beberapa pertandingan seperti tempat kedua Pertandingan Brotherhood Oldskool Skaters (BOS) tahun lalu.


Aksi Finn dan Ian yang ditemani Nuriman.

Sedar akan manfaat sukan ini sejak dari awal, Nuriman mahu anak-anaknya bergiat aktif dalam skateboard kerana sukan ini memerlukan masa untuk benar-benar mahir.

"Sekiranya menyertai pertandingan, pelbagai aspek di ambil kira termasuk melibatkan pergerakan badan sebab itu ia perlu bermula daripada awal.

"Sama juga seperti sukan gimnastik yang perlu dilatih sejak kecil supaya mereka kurang rasa takut apabila semakin meningkat dewasa.

"Apabila pergerakan itu sudah sebati dan sudah dikuasai, dia akan berasa yakin dan pergerakan akan berlaku secara spontan," katanya.

Nuriman yang ditemui di Mont Kiara Skatepark berkata, dia akan membawa Finn dan Ian berlatih setiap hari iaitu 5 petang hingga 9 malam setiap Isnin hingga Khamis, Jumaat (5 petang hingga 11 malam), Sabtu (5 petang hingga 2 pagi) dan Ahad (10 pagi hingga 10 malam).

"Rutin harian dan trick yang mereka mereka lakukan akan saya rakamkan menerusi video dan saya akan beritahu mereka apa latihan yang perlu dilakukan setiap hari.

"Contohnya, setiap hari mereka perlu sekurang-kurangnya melakukan 10 pendaratan sempurna. Kemudian, variasikan trick dia sesuai dengan halangan yang pelbagai," katanya.

Nuriman berkata, kedua-dua anaknya mempunyai stail yang berbeza kerana Ian dilihat lebih tenang ketika beraksi, manakala adiknya Finn sedikit agresif.

Dalam masa yang sama, Nuriman akan memastikan anak-anaknya menyiapkan dahulu kerja sekolah sebelum menjalani latihan supaya pelajaran dan sukan bergerak seiring.

Perkembangan terbaru tahun ini, Ian antara tiga atlet skateboard Malaysia yang akan ke Pennsylvania, Amerika Syarikat untuk mengikuti kem latihan sukan ekstrem sebagai persediaan untuk bergelar profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 11:20 PM
Aksi Finn dan Ian yang ditemani Nuriman.