Suasana pilu selepas Mahusin ditemui meninggal dunia di dalam rumahnya di Rumah Kakitangan Klinik Kesihatan Lukut, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my

BEDAH siasat terhadap mayat Juruteknik Pergigian yang ditemui di rumahnya di Kuarters Klinik Kesihatan Lukut, Port Dickson, mendapati terdapat kesan hentakan pada kepala.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, mayat Mahusin Abd Rahim, 28, yang sudah membengkak dipercayai meninggal dunia lebih 72 jam itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat, doktor memaklumkan punca kematian mangsa kerana cedera parah di kepala akibat hentakan dengan benda keras.

“Polis tidak menolak kemungkinan mangsa mengenali suspek,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Susulan laporan bedah siasat itu, katanya, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian 8.30 pagi tadi, mayat mangsa ditemui rakannya yang pergi ke rumah mangsa di tingkat empat kuarters berkenaan selepas dia tidak hadir bertugas sejak Jumaat lalu.

Polis yang menjalankan siasatan di lokasi menemui mayat mangsa dalam keadaan terlentang atas tilam di dalam biliknya, namun dompet dan motosikal milik mangsa hilang.

Berita berkaitan:

Mayat juruteknik pergigian ditemui selepas 72 jam

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 9:24 PM