Lokasi gadis yang dikurung dan dirogol oleh suspek (gambar kecil) di bilik sewa di Sibu. FOTO/ Harun Yahya

WANITA berusia 23 tahun berjaya melepaskan diri daripada menjadi mangsa pemuas nafsu teman lelakinya sejak sembilan hari lalu.

Mangsa dikurung di bilik sewa Jalan Empelam di Sibu berjaya melarikan diri petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, sebaik melepaskan diri, mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

Menurutnya, susulan daripada laporan berkenaan, polis menahan suspek berusia 30 tahun 1.30 pagi hari ini di bilik sewa berkenaan.

“Mangsa mendakwa dikurung suspek sejak 15 Januari lalu di bilik sewa suspek dan dipaksa melakukan hubungan seks sebanyak tiga kali sehari.

“Suspek memukul, menendang dan mengugut mencederakan gadis itu dan keluarganya jika kemahuannya tidak dipenuhi atau mangsa cuba melarikan diri,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa akhirnya berjaya melarikan diri selepas suspek menyuruhnya untuk meminta wang daripada ibu saudaranya yang tinggal di Bawang Assan di pinggir bandar ini sebelum ke balai polis memaklumkan insiden menimpanya.

“Mangsa tidak mengetahui mengapa suspek bertindak mengurung dan mengasarinya, selain memiliki kelakuan ganas, namun tidak menolak kemungkinan teman lelakinya itu berada di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Jonathan berkata, suspek yang juga penganggur akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 357 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan masing-masing atas kesalahan mengurung orang dengan salah dan melakukan ugutan jenayah.

Tambahnya, mangsa dihantar menjalani rawatan di Hospital Sibu dan keadaannya dilaporkan stabil, namun masih mengalami trauma disebabkan insiden menimpanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 2:02 PM