Rab kini menggunakan alat bantuan pernafasan sepenuhnya.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PELAKON Rab Khalid, 48, kini kritikal di Unit Penjagaan Koronari (CCU) Hospital Ampang, akibat serangan jantung dan bukan meninggal dunia sebagaimana berita yang disebarkan sejak awal pagi tadi.

Ia disahkan adiknya, Mohd Abbas Shamsuri, 43, ketika dihubungi sebentar tadi. Rab atau Khalid Shamsuri dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut sejak semalam selepas mengadu sakit dada dan tidak sihat.

Kata Abbas, dia menerima panggilan telefon dari rakan serumah Rab memberitahu abangnya kurang sihat dan perlu dibawa ke hospital untuk rawatan.

“Kata rakan serumah abang, dia tidak sihat sejak beberapa hari lalu tetapi mungkin ketika itu masih mampu menahan kesakitan.

“Rab dimasukkan ke hospital jam 7 malam semalam selepas disahkan doktor akibat serangan jantung dialami.

“Sejak dirawat di CCU, keadaan abang makin lemah dan kini kritikal apabila sepenuhnya menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Sebenarnya itu serangan jantung kedua dialami abang saya selepas kali pertama dikesan kira-kira beberapa bulan lalu,” katanya.

Kata Abbas, Rab diberi bantuan alat penafasan sepenuhnya oleh doktor selepas mendapat serangan jantung sekali lagi sekitar jam 5 pagi tadi.

“Doktor sudah melakukan sedaya-upaya untuk membantu menyelamatkan abang saya dan meminta kami sekeluarga bersedia untuk sebarang kemungkinan yang berlaku.

“Saya bersama ahli keluarga yang lain reda dengan ujian ini dan kepada peminat yang mengenali Rab minta doakan yang terbaik untuk kesihatannya.

“Memandangkan abang masih menerima rawatan di CCU, kedatangan pelawat tidak dibenarkan beramai-ramai,” katanya.

Rab sangat dikenali dengan panggilan Yeh Sekupang iaitu watak dilakonkan dalam filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan arahan Mamat Khalid.

Berasal dari Parit Buntar Perak, anak kedua daripada enam beradik itu dikenali dengan lakonan komedi bersahaja menerusi beberapa karya Mamat seperti Hantu Kak Limah, Hussin, Mon & Jin Pakai Toncit, Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya dan 16 Puasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 12:47 PM