ANTARA produk yang diharamkan penjualannya berikutan mengandungi kimia berjadual. FOTO NSTP
Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Elakkan daripada membeli dan menggunakan lima produk kosmetik disahkan mengandungi racun berjadual merkuri, hydroquinone dan tretinoin.

Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk dilarang adalah Dnars Honey Cream, Moleek Skincare Anti Pigmentation Cream Plus dan Luffya Night Cream 1 yang dikesan mengandungi kimia hydroquinone dan tretinoin.

Manakala produk kosmetik Dnars Yellow Gold Collagen dan Luffiya Night Cream 2 dikesan mempunyai merkuri.

“Notifikasi produk kosmetik itu sudah dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan penemuan racun berjadual di dalam produk itu.

“Produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah. Ia hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Beliau menegaskan penjual dan pengedar produk kosmetik itu diberi amaran menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik berkenaan serta-merta.

“Penjual diingatkan penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama,” katanya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” ujarnya.

Pada masa sama, orang awam yang menggunakan produk kosmetik itu dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan negatif.

“Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh di e-mel kepada kosmetik@npra.gov.my atau menghubungi talian 03-78835400,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 4:55 AM