NELYDIA Senrose. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Gandingan sulung pelakon jelita Nelydia Senrose dan Datuk Farid Kamil dalam drama Lafazkan Kalimah Cintamu sejak 15 Januari lalu berjaya mencuri perhatian ramai peminat.

Buktinya, sejak hari pertama tayangan, drama adaptasi novel itu berada di kedudukan teratas senarai trending di Malaysia dengan 40,000 Tweet dan masih berterusan hingga hari ini.

Barangkali kontroversi membabitkan Farid turut membawa tuah kepada drama terbabit yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis pada jam 10 malam di saluran Astro Ria 104 dan Ria HD 123.

Berpeluang menemu bual aktres jelita itu dalam sesi forografi yang diatur, Nelydia menguntum senyuman manis tatkala ditanya mengenai drama itu yang sememangnya diakui punya kelainan tersendiri.

Kata Nelydia, sebelum drama itu bersiaran, dia ada gerak rasa yang kuat ia bakal mencetuskan fenomena.

“Dari awal lagi saya dapat rasakan tarikan terhadap drama ini. Saya terima tawaran ini pun dianggap sebagai satu tindakan yang berani kerana tidak pernah bawa karakter sedemikian sebelum ini.

“Jalan cerita drama ini sarat dengan percintaan dan kekeluargaan di mana proses untuk peroleh cinta bahagia itu berbeza dengan drama yang pernah dilakonkan. Pembawakan karakter saya juga berbeza,” katanya.

Mempertaruhkan seluruh jiwa dan raganya terhadap drama ini, Nelydia berharap ia menjadi permulaan terbaiknya tahun ini.

“Satu tindakan berani yang cuba saya pertaruhkan. Lagipun, penampilan ini juga adalah permulaan yang baik untuk tahun ini.

“Jujur saya tidak pernah menggalas watak sebegini. Menjadi seorang yang kelakar, berani dan gila-gila dalam satu masa bukan mudah kerana bimbang akan membuatkan penonton menyampah.

“Tambahan pula, daripada novel nak divisualkan kepada sebuah drama. Pembaca pasti mahu watak yang dibawa sama seperti dalam novel dan meninggalkan impak besar. Setakat ini, maklum balas yang saya terima semuanya positif,” katanya.

Tiada masalah

Bercerita lanjut mengenai gandingannya dengan bintang filem J Revolusi itu, Nelydia berkata, Farid aktor yang hebat dan berasa sangat teruja apabila dapat bekerjasama.

“Saya membesar dengan cerita lakonan Farid. Saya rasa bangga dan tidak akan sesekali melepaskan peluang ini.

“Dia tidak lokek ilmu dan saya banyak belajar daripadanya. Dia juga mudah mesra sehingga kami dapat mencipta keserasian dalam tempoh yang singkat. Pendek kata, dia pelakon yang hebat,” katanya.

Biarpun Farid berdepan kontroversi, Nelydia tenang saat diminta memberikan komen mengenai apa yang berlaku itu.


NELYDIA Senrose. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Tegas Nelydia, apa yang terjadi adalah hal peribadi Farid dan dia masih mengagumi aktor itu.

“Rasa hormat saya terhadap dia tidak pernah berubah.

“Saya tidak mahu sentuh hal peribadinya. Saya hanya melihat dia sebagai pelakon yang disegani.

“Sebagai rakan, saya akan sentiasa menyokong Farid. Saya doakan perjalanan hidupnya dipermudahkan,” katanya.

Menurut Nelydia, Farid harus diberikan ruang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya dan berharap orang ramai tidak terlalu cepat menjatuhkan hukum.

“Semua manusia akan diuji. Farid sedang berdepan ujian besar dan kita sepatutnya memberikan dia ruang untuk ‘bernafas’.

“Saya doakan yang terbaik buat Farid,” katanya.

Terdahulu,Farid didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 16 Januari lalu atas empat pertuduhan termasuklah menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari.

Bagaimanapun, suami kepada pelakon Datin Diana Danielle itu dibebaskan dengan jaminan RM12,000 sementara menunggu dakwaan di mahkamah.

Sementara itu, Farid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Khamis lalu atas pertuduhan penggunaan dadah jenis THC, dua minggu lalu.

Soal Hati

Beralih soal hati, pemilik nama sebenar Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen ini tidak pernah menutup pintu hatinya untuk menerima cinta baru.

Nelydia berkata, dia bahagia dengan kehidupannya kini malah semakin fokus dengan kerja.

“Buat masa ini belum ada sesiapa di hati ini. Meskipun hampir empat tahun menyendiri, saya tidak terdesak mencari teman lelaki.

“Saya tidak rasa kosong kerana ada keluarga di sisi. Mereka sentiasa terbuka mendengar kisah suka duka saya.

“Keluarga keutaamaan saya kini. Soal hati biarlah masa yang menentukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 2:46 AM