TUGAS pengacaraan beri lebih masa bersama suami.
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my

Meski masih dalam fasa berbulan madu, ia bukan halangan buat selebriti jelita Juliana Evans untuk kembali aktif memacu kerjayanya sebagai pelakon dan pengacara.

Malahan, suaminya Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah, 30, merestui kerjaya Jue. Namun, wanita berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu lebih teliti dalam memilih projek baru.

Tahun ini, isteri kepada kerabat Selangor dan Johor itu fokus pada bidang pengacaraan. Dia kini menjadi pengacara baru untuk program majalah berjudul Mahligai Cinta serta travelog Fly To Asia bersama Liyana Jasmay.

Dua program genre berbeza, maka pasti cara dan gaya penyampaiannya tidak sama. Secara peribadi, Jue tidak menafikan dia lebih selesa dan berasakan mudah mengendalikan rancangan TV yang lebih santai.

Bagaimanapun, progam yang lebih formal mempunyai cabaran tersendiri. Bagi Jue, kedua-duanya bukan perkara baru dan dia gembira dapat melakukan dua program berlainan.

“Misalnya Fly To Asia, ia lebih mudah kerana tidak terlalu terikat dengan skrip dan cara penyampaian juga santai. Apatah lagi saya berpeluang ke beberapa negara Asia bersama rakan baik saya. Komunikasi kami juga nampak semula jadi.

“Mahligai Cinta pula, saya menggunakan bahasa yang lebih formal dan teratur. Penampilan saya juga perlu elegan sesuai dengan konsep program ini.

“Apapun, saya tidak ada masalah untuk mengendalikan kedua-dua program ini. Bidang pengacaraan bukan perkara baru dan saya gembira kerana diberikan kepercayaan untuk memikul tanggungjawab sebagai hos,” katanya.

Beralih cerita kerjaya lakonan, Jue yang baru-baru ini muncul dalam drama mini berjudul Mata Cinta berkata, setiap kali ada tawaran dia pasti minta pandangan suami terlebih dahulu.

Katanya, banyak perkara yang perlu diambil kira selepas bergelar isteri. Seboleh-bolehnya, Jue ingin meluangkan lebih banyak masa bersama suami untuk tahun pertama perkahwinan mereka.

“Sejak awal pembabitan, saya memang memilih watak. Sehingga ke hari ini saya masih seperti itu tetapi kali ini saya akan merujuk pada suami terlebih dahulu. Ada batasan yang perlu saya jaga walaupun dia mengizinkan saya untuk meneruskan kerjaya.

“Setiap tahun, saya akan rancang perjalanan seni. Saya juga tidak tetapkan untuk berlakon dalam satu atau dua drama sahaja. Semuanya bergantung pada tawaran dan komitmen ketika itu.

“Kalau ada tawaran filem, saya akan utamakan naskhah skala besar terlebih dahulu. Apapun, buat masa ini saya masih terikat dengan Mahligai Cinta dan Fly To Asia. Saya ingin tumpukan pada komitmen itu sebelum menerima tawaran lain,” katanya.

Bagaimanapun, kata Jue, andai tawaran yang datang sukar ditolak kerana skrip serta jalan cerita yang menarik, dia akan berusaha untuk menyusun jadual bagi membolehkannya mengambil peluang itu.

Seiring pertambahan usia dan perubahan status, Jue semakin matang menangani masalah ditimbulkan segelintir netizen yang menaikkan komen negatif pada laman sosialnya.

Kata Jue, satu ketika dahulu, dia pernah membalas balik komen netizen. Namun, tindakan itu hanya memburukkan lagi keadaan dan dia dipersalahkan kerana mudah melatah.

“Kita tidak mungkin menang apabila berhadapan dengan netizen. Mereka boleh kata apa sahaja mengenai kita tetapi apabila kita balas balik, mereka tidak dapat terima.

“Akhirnya, kita juga yang akan dipersalahkan. Sebab itulah apabila ada komen yang agak teruk pada laman sosial, saya akan terus sekat. Saya tidak mahu dikelilingi aura negatif.

“Saya pernah balas komen mereka tetapi saya pula yang kena balik. Jadi, saya ambil iktibar dan cuma berdiam diri, sebaliknya membiarkan mereka terus bercakap,” katanya.

Tambah Jue lagi, dia tidak mahu bergaduh dengan netizen kerana ia tidak membawa kebaikan. Malahan ia mungkin mencalarkan imejnya sebagai selebriti.

Tak kesah dipanggil Jue

Diberi gelaran Che Puan selepas berkahwin dengan kerabat istana, Jue bagaimanapun tidak kesah seandainya peminat memanggilnya Jue.

Jelas Jue, dia bersyukur kerana keluarga mentua tidak terlalu mengikut protokol dan lebih kasual. Bagaimanapun, wanita itu masih perlu mematuhi protokol apabila menghadiri majlis rasmi.

“Ada peminat yang panggil saya Jue, ada juga panggil Che Puan. Saya tidak ada masalah pun kalau peminat panggil nama atau gelaran. Saya masih sama seperti dulu.

“Saya masih lagi dalam usaha membiasakan diri dengan gelaran ini kerana ia akan digunakan ketika majlis rasmi membabitkan saya dan suami,” katanya.

Bercakap mengenai buah tangan baharu, Jue bakal muncul dalam filem berjudul Bella dan Jamie serta Pulang. Dijangkakan, naskhah itu akan ditayangkan pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 5:49 AM