Alyah bersama kek ulang tahun kelahirannya. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Datin Alyah merancang untuk melakukan rawatan kesuburan In Vitro Fertilization (IVF) sekiranya masih belum dikurniakan anak dengan suami, Datuk Ramli MS.

Alyah, 37, berkata dia pernah merujuk beberapa pusat perubatan mengenai masalah dihadapi sehingga menyukarkan dirinya hamil selepas hampir lima tahun berkahwin.

“Sebelum Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumumkan berita kehamilannya melalui kaedah IVF, saya sudah bertanya beberapa pusat perubatan.

“Saya difahamkan, mungkin disebabkan rutin harian, tekanan kerja dan gaya hidup antara sebab saya sukar nak hamil. Jadi, saya fikir rawatan IVF antara inisiatif terbaik untuk mendapatkan cahaya mata,” katanya kepada Harian Metro.

Namun, Alyah yang kini muncul dengan single Jutaan Purnama terpaksa menangguhkan dahulu hasrat itu.

“Memandangkan single baru saja keluar, jadi saya perlu selesaikan beberapa komitmen kerja sepanjang tahun ini. Lagi pula, kalau saya buat sekarang bimbang tidak menjadi.

“Saya perlukan rehat secukupnya dan tidak boleh berada dalam tekanan. Dalam tempoh tiga atau empat bulan pertama, saya tidak boleh ada aktiviti seni. Jadi, kalau nak buat pun tunggu tahun hadapan, Insya Allah,” katanya.

Alyah ditemui pada majlis sambutan hari jadinya ke-37 di sebuah pusat hiburan keluarga di Damansara, semalam.

Majlis turut dihadiri kelab peminat, Alyah4Ever itu ditaja sepenuhnya Datin Yulia Rosalina Yusop yang juga pengasas produk kesihatan Lime Shots.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 2:18 PM