ANGGOTA polis menahan seorang lelaki (dua dari kiri) berhubung kejadian letupan bunga api untuk siasatan. FOTO Omar Osman


“MACAM letupan bom, sebelum semua orang berlari ke arah gerai saya untuk cari perlindungan," kata peniaga air tebu, Sun Chai, 66, yang juga saksi kejadian letupan bunga api ketika perarakan sempena Thaipusam di Jalan Pekan Lama, Sungai Petani, malam semalam.

Kejadian berlaku ketika orang ramai sedang menunggu ketibaan perarakan berhala yang keluar dari Kuil Sri Subramaniam Swami menuju ke Jalan Pasar.

Menurut Sun Chai, ketika kejadian bahagian hadapan gerainya dipenuhi ramai yang menanti perarakan berhala berkenaan.

Katanya, orang ramai amat teruja apabila ada pihak menyalakan bunga api berkenaan.

“Bunga api itu meletup di udara sebelum tiba-tiba berlaku satu letupan kuat dan percikan bunga api menyebabkan pengunjung bertempiaran lari.

"Letupan itu amat kuat. Bekas air tebu saya terbalik ketika orang ramai bergegas mencari perlindungan di dalam gerai saya.

"Saya sendiri terkena percikan letupan bunga api itu sebelum berlindung di sebalik kereta tolak, " katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, letupan berlaku ketika orang ramai sedang melihat acara bunga api di depan sebuah restoran bagi menyambut ketibaan perarakan berhala.

Katanya, letupan pertama hingga ketiga berlaku di udara, namun letupan keempat berlaku di bawah sekali gus menyebabkan orang ramai bertempiaran lari bagi mengelak terkena percikan letupan berkenaan.

"Akibat itu, seramai 26 orang membabitkan 14 wanita dan 12 lelaki termasuk seorang anggota Sukerelawan Polis berusia lima hingga 59 tahun mengalami kecederaan kerana terkena percikan api berkenaan.

"Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dengan empat mangsa dimasukkan ke wad, manakala 22 lagi mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Susulan kejadian, polis turut menahan empat lelaki berusia 25 hingga 34 tahun berhampiran lokasi kejadian untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati tiada elemen berunsur sabotaj atau khianat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958.

Berita berkaitan

Cuma nak rai Thaipusam...

23 cedera kerana bunga api

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 12:12 PM