FAIZTUNOR Hassan (kiri), ibu kandung kepada mangsa dera, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah ketika ditemui bersama anak lelakinya ketika berurusan di Sekolah Kebangsaan Lukut, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


POLIS mengesahkan siasatan mendapati abang kandung mangsa dera yang meninggal dunia, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, dipercayai turut didera oleh bapa mereka.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, suspek membuat pengakuan mendera anak lelakinya yang berusia 11 tahun itu, namun tidak seteruk yang dilakukan terhadap Nur Aina Nabihah.

"Hasil siasatan polis, suspek mengaku turut memukul kanak-kanak lelaki itu yang tinggal bersamanya," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Nur Aina Nabihah meninggal dunia 31 Januari lalu, dipercayai akibat didera bapa kandung dan ibu tirinya, sebelum keputusan bedah siasat mendapati dia mengalami kecederaan pada buah pinggang, selain usus terkoyak serta patah tulang rusuk.

Berikutan itu, pasangan masing-masing berusia 35 dan 34 tahun itu ditahan reman tujuh hari sehingga hari ini, untuk membantu siasatan polis.

Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membenarkan tempoh tahanan reman pasangan suami isteri itu dilanjutkan tujuh hari lagi, bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.

Majistret Siti Khariah Abdul Razak, membenarkan permohonan itu yang dibuat oleh pembantu pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Firdaus Abd Razak.

. Faizatunor Hassan (kiri) yang merupakan ibu kandung kepada mangsa dera, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah ketika ditemui bersama anak lelakinya ketika berurusan di Sekolah Kebangsaan Lukut, Port Dickson. STR/MOHD KHIDIR ZAKARIA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 4:46 PM