Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


POLIS sudah memanggil dua keluarga yang bergaduh di sebuah kawasan perumahan di Paka, Dungun, hari ini selepas insiden itu tular di laman sosial sejak dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, seorang ahli keluarga terbabit turut menyerahkan sebilah pedang samurai di Balai Polis Paka pada 4 petang tadi.

Menurutnya, pedang samurai itu adalah senjata yang digunakan dalam insiden pergaduhan terbabit. “œKertas siasatan berhubung kes sudah dibuka dan mereka yang terbabit boleh dikenakan tindakan. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Video berdurasi satu minit 34 saat yang memaparkan pergaduhan antara dua keluarga termasuk ugutan menggunakan senjata dipercayai pedang samurai tular di Facebook sejak dua hari lalu.

Insiden itu memaparkan pertengkaran di antara dua keluarga dipercayai berpunca daripada pergaduhan anak-anak membawa kepada campur tangan ibu bapa.

Video itu dimuatnaik oleh seorang pengguna laman sosial dan kemudian dikongsi sehingga mendapat reaksi negatif netizen yang menganggap perkara sedemikian amat memalukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 8:23 PM
GAMBAR tular seorang wanita mengacukan pedang samurai dalam pergaduhan di sebuah kawasan perumahan di Paka, Dungun.