Muhammad Malikie bersama   Hasiah melihat pakaian yang digunakan untuk persekolahan tahun lalu.
Muhammad Malikie bersama Hasiah melihat pakaian yang digunakan untuk persekolahan tahun lalu.
Nazdy Harun


Kuala Berang: “Saya rindu untuk kembali ke sekolah, namun ketiadaan dokumen pengenalan diri mengakibatkan peluang saya untuk bersekolah dan menduduki peperiksaan (Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah-PPSR) tahun ini tidak kesampaian,” kata Muhammad Malikie Shamsul Rizal, 12, dari Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Bukit Ara, di sini.

Menurutnya, tahun lalu dia diberi peluang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Ajil, namun dalam tempoh kelonggaran itu keluarganya perlu menyediakan dokumen pengenalan dirinya untuk membolehkannya terus bersekolah.

Katanya, dia merindui alam persekolahan, namun akur kerana tanpa dokumen pengenalan diri, dia terpaksa melupakan hasrat untuk bersekolah seperti rakan lain.

“Saya ingin belajar dan bersukan di sekolah seperti sebelum ini, namun kini masa saya dihabiskan di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti.

“Saya berharap dapat kembali ke sekolah secepat mungkin selepas semua urusan mendapatkan dokumen pengenalan diri dilakukan ibu dengan bantuan rakan yang akan ke Indonesia,” katanya.

Ibunya, Hasiah Ismail, 42, berkata, dia membuat persiapan termasuk menyediakan dokumen penting diperlukan pihak berwajib di Indonesia, namun halangannya kini sumber kewangan ketika berada di Indonesia nanti.

“Pada dasarnya kerajaan negeri bersetuju memberi tiket penerbangan, namun dalam tempoh urusan di sana, kos yang perlu disediakan termasuk penginapan dan makan minum menjadi halangan.

“Saya dan arwah suami rakyat Malaysia ke Riau, Indonesia atas urusan kerja suami sebelum saya melahirkan Malikie di pusat bersalin swasta di sana,” katanya.

Menurutnya, tindakan tidak mendaftar kelahiran sebelum itu mengakibatkan anaknya kini tidak mempunyai dokumen pengenalan diri hingga menyukarkannya untuk bersekolah dan melakukan pelbagai urusan memerlukan dokumen berkenaan.

Oleh itu, dia dengan bantuan seorang rakan membuat persiapan ke Indonesia bagi menyelesaikan masalah berkenaan, namun kekurangan wang mengakibatkan hasratnya itu masih tertangguh hingga kini.

Katanya, semua dokumen diminta pihak Indonesia seperti kad kelahiran anaknya, bukti penikahan dan surat kelahiran empat lagi anaknya disediakan.

“Sedih apabila melihat anak saya itu tidak dapat ke sekolah, namun saya akur kerana prosedur perlu dipatuhi. Saya berusaha untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri buat anak saya itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 5:54 AM