DARI kiri, Ryan, Chadwick, Lupita dan Michael selepas sidang media di Seoul.
BLACK Panther filem adiwira berbeza jika dibandingkan filem lain terbitan Marvel.
Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my


Chadwick Boseman mungkin kurang dikenali sebelum ini.

Peminat filem lebih mengenalinya menerusi filem 42 pada 2013, membawa watak penyanyi funk legenda James Brown dalam filem Get On Up (2014) sebelum cemerlang sebagai peguam Thurgood Marshall dalam filem Marshall tahun lalu.

Namun, segala-galanya berubah pada 2014 ketika dia berada di Zurich, Switzerland mempromosikan filem Get On Up.

Chadwick, 41, berkata, ketika hendak menghadiri acara ‘red carpet’ di sana, dia menerima panggilan daripada Marvel Studios.

“Secara kebetulan saya baru saja mengaktifkan talian antarabangsa di telefon pada pagi sebelumnya supaya keluarga mudah menghubungi saya. Ia memang gila! Orang yang menghubungi saya ialah Presiden Marvel Studios Kevin Feige dan dia menawarkan watak untuk filem Captain America: Civil War!

“Dia bertanya adakah saya berminat untuk satu watak dalam filem terbaru terbitan mereka? Disebabkan dia dari Marvel, saya memang sudah tahu ia adalah untuk watak superhero dan tawaran daripada Marvel memang sesuatu yang tidak harus dilepaskan.

“Saya menerima tawaran ini tanpa mengetahui bagaimana skripnya dan siapa pengarah serta pelakonnya. Sebagai pelakon, ini pertama kali saya lakukan. Sesi uji bakat juga dilakukan secara rahsia dan saya juga tidak memaklumkan kepada keluarga,” katanya ketika temu bual bersama RAP di Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.

Dua tahun kemudian, Chadwick tampil sebagai superhero terbaru Marvel iaitu Black Panther yang diperkenalkan dalam filem Captain America: Civil War bersama dengan adiwira sedia ada seperti Iron Man, Captain America, Spiderman, Black Widow, Ant-Man, Vision, Hawkeye dan Winter Soldier.

Chadwick mengakui dia sukar bernafas dan hampir tercekik ketika pertama kali mengenakan sut Black Panther untuk filem Captain America: Civil War.

“Saya rasa seperti tercekik. Apabila saya mula mengenakan topengnya, ia makin merimaskan,” katanya.

Kini, Chadwick bakal mencipta sejarah apabila tampil dengan filem pertama yang mengetengahkannya sebagai superhero tunggal iaitu Black Panther.

Filem arahan Ryan Coogler yang turut menampilkan lakonan Lupita Nyong’o, Michael B Jordan, Forest Whitaker dan Andy Serkis itu bakal ditayangkan di Malaysia mulai Jumaat ini.

Apa yang pasti, Black Panther adalah antara filem paling dinantikan tahun ini terutama apabila pertama kali menyaksikan filem ini didominasi pelakon kulit hitam termasuk pengarahnya.

Sejak 10 tahun lalu, pelakon, pengarah, penerbit dan peminat tertanya-tanya kenapa industri filem Hollywood agak perlahan untuk mengetengahkan pelakon kulit hitam sebagai superhero.

Namun, pada 1990-an, watak Robin dalam filem Batman sepatutnya dibawa oleh Marlon Wayans, tetapi dia digantikan oleh Chris O’Donnell.

Wesley Snipes pula membawa watak superhero dalam dua filem Blade dan pada 2004, Halle Berry tampil sebagai Catwoman. Dua belas tahun kemudian, Will Smith membawa watak Deadshot dalam filem Suicide Squad.

Black Panther hanya menampilkan dua pelakon kulit putih iaitu Andy Serkis dan Martin Freeman dan selebihnya adalah pelakon kulit hitam.

Pengarahnya, Ryan berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana ia bukanlah sesuatu yang tidak normal.

“Dalam komik asal, Black Panther memang seorang kulit hitam berasal dari Wakanda di benua Afrika. Saya tidak ada masalah dengan itu,” katanya.

Ryan berkata, Black Panther adalah filem adiwira berbeza jika dibandingkan dengan filem terbitan Marvel yang lain.

“Ia menggabungkan tradisi dan kemodenan. Dapat bekerjasama dengan barisan pelakonnya seperti Chadwick, Lupita dan Michael juga adalah sesuatu yang cukup hebat,” katanya.

Menurut Ryan, berpeluang menduduki kerusi pengarah untuk filem itu adalah sesuatu yang hebat.

“Saya membesar dengan membaca komik dan Black Panther cukup dekat di hati saya. Saya rasa amat bertuah apabila diberi tanggungjawab (mengarah) ini,” katanya.

Meriah di Seoul

Acara ‘red carpet’ filem Black Panther di pusat beli-belah Times Square, Seoul, meriah dengan sambutan lebih 2,000 peminat filem berkenaan di sana, baru-baru ini.

Peminat memenuhi ruang legar pusat beli-belah berkenaan bagi mendapatkan tandatangan serta berwefie dengan Ryan, Chadwick, Lupita dan Michael.

Empat selebriti terbabit nyata teruja dengan sambutan penonton dan menyifatkan ia antara acara promosi filem paling meriah pernah mereka sertai.

Lupita berkata, dia gembira berada di Seoul dan sambutan itu membuatkan dia berasa dihargai dan menganggap peminat seperti keluarganya.

“Kami seronok menghasilkan filem ini dan kami lakukannya untuk anda,” katanya.

Dalam pada itu, Lupita turut dipuji dengan penampilannya yang cantik dan elegan.

“Terima kasih kerana memuji saya seorang yang cantik. Rahsia untuk kelihatan cantik ialah jadilah diri sendiri,” katanya.

Black Panther turut dekat dengan peminat Korea Selatan kerana ia turut menjalani penggambaran di Busan. Malah, kira-kira 20 peminat dari Busan turut dibawa ke majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 6:15 AM