UQASHA Senrose. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

Enam tahun mencanai bakat dalam dunia seni, lakonan Uqasha Senrose semakin hari semakin bagus.

Kemunculannya di kaca televisyen mencipta impak luar biasa dan melekat di hati penonton drama Melayu.

Antara drama yang menjadi sebutan sehingga hari ini adalah Hero Seorang Cinderella dan Tundukkan Playboy Itu.

Meskipun persembahannya dipuji ramai, Uqasha enggan terbuai sebaliknya nekad mahu meningkatkan kemampuan diri.

“Sebagai orang baru dalam bidang ini, saya tidak boleh mensia-siakan peluang dan kepercayaan penerbit serta pengarah.

“Setiap karya harus disampaikan dengan baik barulah karakter yang dilakonkan dapat diterima penonton.

“Dari awal pembabitan, saya melihat setiap drama yang dibintangi sebagai satu proses pembelajaran. Saya tidak pernah malu bertanya kepada pengarah. Saya bukan kejar anugerah tetapi kepuasan dalam bekerja itu lebih mahal,” katanya.

Uqasha berkata, dia tidak pernah memilih syarikat produksi, asalkan watak yang diberikan punya kelainan pasti tawaran yang dihulur disambut dengan hati terbuka.

Perkembangan terkini, Uqasha baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem Esok Untuk Kita di Pahang.

“Setakat ini, saya okay dengan setiap tawaran yang datang. Saya terima ikut kemampuan dan seandainya karakter yang diberikan tidak bersesuaian dengan imej, saya rela tolak.

“Saya juga tidak kisah bekerja dengan syarikat produksi baru atau pelakon yang tidak pernah digandingkan bersama.

“Esok Untuk Kita misalnya, ia terbitan syarikat produksi yang baru pertama kali menghasilkan drama. Saya okay sebab jalan cerita dan skripnya agak unik,” katanya yang membawa watak Zulia, isteri kepada Hisham lakonan Beto Kusairy.

Mengulas hubungannya dengan pengacara dan pelakon Hefny Sahad, Uqasha mohon diberikan sedikit ruang privasi.

“Tahun lalu banyak cerita kami didedahkan kepada umum. Buat masa ini, beri saya masa untuk fokus karier.

“Apa yang boleh saya katakan, kami berkawan macam biasa tetapi perancangan untuk ke fasa lebih serius belum ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 3:44 AM