Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


“SAYA terpaksa minum air paip kerana terlampau haus dan tiada air minuman di atas.”

Demikian kata Muhammad Hariz Jaamat Wok, 24, seorang daripada pelancong yang terkandas di puncak Gunung Machincang.

Kejadian itu berlaku selepas perkhidmatan kereta kabel SkyCab Langkawi berdepan masalah teknikal pada 5.48 petang, hari ini.

"Cuaca di atas gunung terlalu sejuk kerana angin kuat sehingga ada yang terpaksa menggunakan plastik sampah untuk dijadikan pemanas.

"Ada anak-anak kecil yang menangis sebab terlalu sejuk dan ada juga yang pitam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Hariz tiba di Langkawi semalam dan akan pulang ke Kajang, Selangor jam 12 tengah hari, esok bersama lima lagi rakannya.

"Saya terkandas hampir enam jam di atas dan baru saja dapat turun pada 11 malam selepas kereta kabel itu berfungsi kembali.

"Ini memang pengalaman yang tak akan saya lupakan sampai bila-bila," katanya yang bekerja sebagai penghantar surat.

Terdahulu, kira-kira 700 pelancong terkandas selepas perkhidmatan kereta kabel itu mengalami masalah teknikal.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihaknya terpaksa mendaki gunung untuk membawa peralatan dan alat ganti ke stesen pertama bagi tujuan membaiki kerosakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 12:34 AM