Ahmad Rabiul Zulkifli

Marang: “Saya tak sanggup lagi melihat anak dalam kesakitan, saya sangat berharap kos pembedahan itu berjaya dikumpul dalam masa terdekat,” kata Siti Rokiah Ab Wahab, 39, ibu kepada Muhammad Faris Wifiuddin Faris Irwan, sembilan bulan, yang mengalami masalah saluran hempedu tersumbat ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Muhammad Faris Wifiuddin mengalami masalah saluran hempedu tersumbat sejak lahir dan selepas menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), anak bongsu daripada empat beradik itu perlu menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji, Shanghai, China membabitkan kos rawatan termasuk penginapan dan pengangkutan sebanyak RM250,000.

Siti Rokiah berkata, anaknya menjalani pembedahan pertama pada Ogos lalu, bagaimanapun kesihatannya semakin terjejas sejak akhir-akhir ini.

“Sebagai ibu, saya tak sanggup melihat anak berterusan menahan sakit. Biasanya Muhammad Faris Wifiuddin hanya tidur sejam saja, tetapi berulang dan apabila sedar dia merengek sakit.

“Saya bertuah kerana suami, Faris Irwan Shafpii, 35, dan ahli keluarga turut bekerjasama menjaga Muhammad Faris Wifiuddin. Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, saya sendiri kekurangan rehat kerana perlu merangkul tubuh Muhammad Faris Wifiuddin setiap kali dia menangis,” katanya.

Menurutnya, mereka diminta menguruskan pembedahan pemindahan hati di China secepat mungkin dan dia sendiri akan menjadi penderma hati kepada Muhammad Faris Wifiuddin.

SITI Rokiah menenangkan Muhammad Faris Wifiuddin yang mengalami masalah saluran hempedu tersumbat. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

“Cuma menjadi masalah apabila kos rawatan dan sara hidup penjaga di sana selama dua bulan sangat tinggi membuatkan kami terpaksa meraih simpati orang ramai bagi mempercepatkan proses pembedahan itu,” katanya yang tinggal di Kampung Tebakang, Marang.

Siti Rokiah berkata, sejak penderitaan anaknya di samping tabung kutipan membiayai kos rawatan itu menjadi tular di media sosial, dia berjaya mengumpulkan sebanyak RM11,000 hasil sumbangan orang ramai.

“Saya harap lebih ramai yang tampil membantu Muhammad Faris Wifiuddin dengan harapan pembedahan itu boleh dijalankan secepat mungkin selewat-lewatnya pada penghujung Mac ini,” katanya.

Sementara itu, Faris Irwan berkata, dia hanya ingin melihat anak bongsunya itu sihat seperti tiga anaknya yang lain iaitu Siti Aisyah Umaira, 7, Siti Asiah Qaisara, 6, dan Muhammad Faris Hafizuddin, 3.

“Hanya pembedahan pemindahan hati itu saja yang akan menyelesaikan masalah Muhammad Faris Wifiuddin. Justeru saya perlu berusaha mengumpulkan wang bagi memastikan pembedahan itu boleh dijalankan secepat mungkin.

“Masalah itu dalam pengetahuan kerajaan negeri dan pihak bertanggungjawab yang lain. Malah permohonan bantuan Tabung Darul Iman sudah dibuat dan diharap diluluskan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Muhammad Faris Wifiuddin boleh menghubungi talian 014-8191406 atau terus menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional 0212929000003812.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 6:04 AM