LELAKI yang dipercayai mahu meminta bantuan akibat keretanya rosak maut dilanggar lari ketika sedang melintas jalan di Kilometer 61.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Mohamed Farid Noh


LELAKI yang dipercayai mahu meminta bantuan akibat keretanya rosak, maut dilanggar lari ketika sedang melintas jalan di Kilometer 61.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.45 malam tadi itu, mangsa Chia Chin Liang, 32, dari Taman Scientex, Pasir Gudang, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, ketika kejadian mangsa yang dipercayai dalam perjalanan ke Pasir Gudang memberhentikan kereta di lorong kecemasan lebuhraya berkenaan kerana keretanya rosak.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang sedang melintas jalan di lebuhraya itu dilanggar kenderaan yang masih belum dikenal pasti.

"Akibat dari pelanggaran itu, mangsa yang parah meninggal dunia di tempat kejadian, " katanya.

Mohamad berkata, kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana langgar lari.

Katanya, saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 11:58 AM