JC Chee. FOTO Aziah Azmee
Amirul Haswendy Ashari.

Pelakon kacak yang popular dengan watak Tauke melalui filem pecah panggung Ola Bola lebih dua tahun lalu, JC Chee bersedia dikecam peminat berbangsa Melayu sebaik saja filem terbaru lakonannya berjudul Get Hard: Tongkat Ali Kasi Keras mula ditayangkan 8 Mac ini.

Jejaka berusia 33 tahun asal Chuping, Perlis itu berkata, kecaman itu mungkin disebabkan beberapa babak sensual lakonannya dalam filem terbabit.

“Dalam filem ini saya perlu melakukan adegan ghairah dengan memakai tuala dan ada juga babak hanya berkain pelekat tanpa baju.

“Ada babak menjurus kepada seks, tetapi ia dilakukan secara ‘tarik tali’, maknanya adegan itu seolah-olah akan berlaku, tetapi tak jadi,” katanya ketawa.

JC mengakui bersetuju membintangi filem itu kerana sukakan subjeknya yang memaparkan realiti kehidupan masyarakat Malaysia hari ini.

Katanya, dia pernah membaca sebuah artikel mengenai 25 peratus lelaki rakyat Malaysia berusia antara 20 sehingga 29 tahun mengalami penyakit ‘mati pucuk’.

Selain itu, skrip yang bagus juga menarik perhatiannya untuk menerima tawaran menjayakan Get Hard: Tongkat Ali Kasi Keras yang menjalani penggambaran sekitar April tahun lalu.

Menurut JC, pada awalnya dia agak risau memikirkan penerimaan peminat, tetapi disebabkan isu yang dibangkitkan bukan perkara remeh, dia bersetuju.

“Ketika terima skrip, saya tidak tahu perlu melakonkan babak ghairah kerana ia tidak dinyatakan. Hanya selepas berada di set, penulis skrip dan pengarah menambah elemen itu untuk menjadikan jalan cerita lebih realistik.

“Mereka cabar saya melakukannya demi kelainan dalam lakonan dan saya terima walaupun pada awalnya agak skeptikal kerana saya agak konservatif orangnya,” kata JC.

JC Chee. FOTO Aziah Azmee

Dia bagaimanapun lega kerana babak dilakonkan tidaklah keterlaluan dan bersesuaian dengan filem itu yang dikategorikan untuk tontonan 18 tahun ke atas.

Seronok berbual mengenai filem ‘panas’ itu, JC mendedahkan tawaran berlakon di negara sendiri agak kurang kebelakangan ini.

Bukan sebab tiada ruang untuknya, sebaliknya tawaran dari luar negara seperti di China dan Taiwan agak memberangsangkan.

Katanya, selepas Ola Bola, dia sibuk dengan projek iklan komersial produk berjenama.

“Ramai peminat terutama berbangsa Melayu bertanya bila lagi saya akan berlakon untuk produksi tempatan. Sebenarnya, jadual saya agak padat. Saya hanya mampu berlakon satu atau maksimum dua filem setahun.

“Saya pernah juga ditawarkan berlakon drama untuk TV3, Astro dan RTM, malangnya saya sudah ada komitmen penggambaran projek luar negara,” katanya yang baru pulang dari Hong Kong dan Shanghai pada sambutan Tahun Baru Cina lalu selepas berbulan-bulan berada di sana.

Ingin berlakon bawah Skop Production

Melihat kejayaan ramai rakan pelakon Ola bola, JC juga teringin membina nama dalam pasaran Melayu.

Ditanya dengan siapa dia ingin bekerja sama, tanpa berselindung produksi Skop Production dan KRU meluncur laju dari bibirnya.

Ini terutama naskhah arahan Syamsul Yusof atau Syafiq Yusof yang sering tampil dengan idea baru dan bernas.

Dia yang baru muncul dengan filem Think Big Big minggu lalu berharap peluang itu hadir satu hari nanti.

“Saya pernah menonton drama terbitan Skop Production ketika kanak-kanak seperti Roda-Roda Kotaraya dan Gerak Khas. Daripada situ, saya pasang impian untuk melakonkan watak polis.

“Saya teruja menonton filem arahan Syamsul seperti KL Gangster 1 dan 2 selepas tertarik menonton trailer dua filem itu di pawagam beberapa tahun lalu.

“Selain itu, saya juga teringin bawa watak penghidap autisme kerana ia sangat mencabar,” katanya yang bakal muncul dengan filem berjudul My Surprise Girl pada April depan.

Menjadikan bintang antarabangsa Tom Hanks sebagai idola, JC mengayam angan-angan mengharumkan nama Malaysia dengan melebarkan sayap seni di Hollywood.

Dia juga menyimpan impian bekerja dengan Shaheizy Sam selepas menonton lakonan pelakon popular itu dalam filem Mamak Cupcake beberapa tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 5:40 AM