PEMUZIK bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude suami kepada Pelakon, Izreen Azminda dan isteri pertamanya, Intan Liana Saleh hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur. FOTO Salhani Ibrahim
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


SELEPAS lima tahun berkahwin, pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude bakal melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya Intan Liana Saleh selepas memfailkan permohonan itu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur.

Ude, 30, (plaintif) yang juga suami kepada pelakon Izreen Azminda diwakili peguam syarie Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap Intan Liana, 33, (defendan) pada 30 November tahun lalu.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Terdahulu, pada prosiding sebutan kes berkenaan di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin, Mohd Zaidi memohon satu tarikh sebutan baru bagi kedua-dua pihak berbincang mengenai perjanjian penyelesaian berkaitan isu-isu tuntutan selepas perceraian termasuk nafkah.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk mereka diberikan masa dan ruang berbincang mengenai perkara itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pada prosiding itu, Intan Liana bagaimanapun tidak diwakili peguam.

Ketika ditemui media di luar mahkamah, Mohd Zaidi menjelaskan antara alasan perceraian anak guamnya dengan Intan Liana adalah tiada lagi persefahaman antara mereka.

Ude bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu dan hanya mengunci mulut apabila di asak oleh wartawan.

Sementara itu, Intan Liana yang hadir ditemani keluarga berkata, dia akur dan reda dengan lafaz cerai yang akan dibuat Ude kelak.

"Saya reda dengan lafaz (cerai) Ude nanti. Bersedia atau tidak, saya terpaksa terima.

"Sebelum ini kami tak pernah berbincang apa-apa, kalau berjumpa pun sebab anak.

"Saya masih sayang pada dia. Saya tak tahu apa salah saya," kata Intan Liana yang mengakui Ude adalah seorang suami dan bapa yang baik.

Intan Liana juga memberitahu mereka tinggal berasingan sejak November tahun lalu.

Ude dan Intan Liana bernikah pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua anak, Arish Muqri, 3, dan Ariq Muqri, setahun.

Penghujung tahun lalu, dunia hiburan gempar apabila Izreen Azminda membuat pengakuan terbuka, dia sudah menjadi isteri kedua kepada pemuzik bebas itu sejak 8 Ogos 2017 dalam satu majlis tertutup di Damansara.

Sebelum ini, Izreen Azminda mendirikan rumah tangga dengan jurukamera, Muhammad Riza pada 2012 tetapi berpisah dua tahun kemudian.

Pada perkahwinan itu, Izreen Azminda dan bekas suami, dikurniakan seorang anak, Muhamad Adrian Umar yang kini berusia lima tahun.

Berita berkaitan:

Lebih baik diam...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 5:19 PM