SWEET Qismina. FOTO Nurul Syazana Rose Azman
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my

Gadis manis berusia 21 tahun ini mengakui kadang-kadang dia menyesal menolak banyak tawaran berlakon drama, telefilem dan filem kerana mahu fokus pada pelajaran.

Namun, pada masa sama Sweet Qismina berasakan adalah satu kerugian besar jika dia tidak menamatkan pengajiannya dalam bidang Komunikasi Massa untuk tempoh yang sudah ditetapkan.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama kanak-kanak Hikayat Putera Shazlan ini berkata, walaupun namanya tidak popular seperti pelakon lain, tawaran berlakon sentiasa ada.

Katanya, populariti itu perlu seiring dengan komitmen. Namun buat masa ini, Sweet tidak berani memberikan komitmen 100 peratus terhadap lakonan kerana pelajaran adalah keutamaannya.

“Ada yang tanya, kenapa saya buat keputusan memperlahankan kerjaya sedangkan sudah menang Anugerah Bintang Popular BH untuk kategori Artis Baharu Wanita Popular. Kenapa tidak teruskan saja?

“Saya tahu, populariti itu penting, tetapi saya juga tidak mahu abaikan pelajaran. Kalau saya fokus pada lakonan, pelajaran akan terabai dan mungkin akan berhenti separuh jalan. Saya rasa itu tidak berbaloi untuk masa hadapan.

“Walaupun tidak popular, ia tidak mencerminkan perjalanan karier saya. Saya bersyukur kerana masih diberikan rezeki dalam bidang lakonan. Cuma ada yang saya boleh buat dan ada yang terpaksa tolak kerana bertindih dengan jadual kelas,” katanya.

Jadi gadis autisme

Sibuk dengan penggambaran drama bersiri 100 episod berjudul Cinta Tiada Ganti yang diadaptasi drama dari Filipina, Sweet yang memegang watak sebagai gadis autisme teruja melakonkan watak berkenaan.

Katanya, itu adalah tanda aras baru dalam kerjanya seninya. Buat pertama kali dia diberikan kepercayaan menggalas watak yang agak berat itu.

Walaupun agak bimbang, Sweet positif dapat membuktikan bakat sebenarnya menerusi watak itu. Dia banyak menonton video realiti memaparkan kehidupan individu yang menghidap autisme.


SWEET Qismina. FOTO Nurul Syazana Rose Azman

“Sebenarnya, saya sudah tolak tawaran ini kerana tempoh penggambaran yang sangat panjang, tetapi pihak produksi sedia bertolak ansur dengan jadual kuliah.

“Selain watak yang menarik, kesudian mereka melonggarkan penggambaran juga membuka rezeki untuk membuktikan bahawa saya juga mampu membawakan watak seperti itu.

“Saya mempunyai kekurangan dari segi fizikal. Bertubuh kecil dan wajah keanak-anakan membuatkan saya tidak sesuai dengan watak ibu atau watak orang lebih dewasa. Salah satu cara untuk menunjukkan bakat adalah menerusi watak seperti itu,” katanya.

Takut kena kecam

Sebelum memulakan penggambaran, Sweet banyak membuat kajian mengenai autisme.

Disebabkan autisme mempunyai tahap tertentu, dia berbincang dengan pengarah untuk membentuk watak itu.

Enggan menjadi bahan kecaman netizen yang mungkin membandingkan lakonannya dengan pelakon dalam cerita asal, dia memutuskan untuk membawa watak itu dengan corak autisme yang dekat dengan masyarakat.

“Disebabkan ia cerita adaptasi, sudah pasti akan ada yang membandingkan dan menilai lakonan saya nanti. Sebab itulah saya banyak membuat kajian sebelum memulakan penggambaran.

“Kami ada sesi latihan di lokasi tetapi itu tidak mencukup. Di rumah pun saya akan membuat latihan dan lihat mimik muka sendiri supaya kelihatan sama seperti penghidap autisme.

“Saya menjadikan anak pelakon Zarina Zainuddin sebagai inspirasi. Saya tidak mahu nanti lakonan saya kelihatan sebagai orang gila dan bukannya autisme. Walaupun hanya lakonan, tetapi biarlah realistik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 4:57 AM