ROSLAILAWATI mengajar kanak-kanak di Pusat Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah memanah. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Anak bernama Nur Solehah Maisarah Abdullah ini adalah kekuatan saya untuk terus menguruskan Pusat Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah yang beroperasi kira-kira 10 tahun lalu,” kata Roslailawati Mohamad, 57, pemilik rumah kebajikan itu.

Dia yang mesra dipanggil Ibu Laila berkata, Maisarah yang kini berusia tujuh tahun satu rahmat diturunkan Allah kepadanya dan memberi lebih makna kepada kehidupannya.

“Kini Maisarah sudah membesar dengan baik walaupun mempunyai masalah jantung berlubang, tetapi ia beransur pulih sekitar 75 peratus.

“Saya berharap dia akan lebih selesa menjalani kehidupan di sini walaupun rumah kebajikan ini masih memerlukan dana untuk ditambah baik dari segi ruang tidur dan keperluan harian,” katanya ketika ditemui di rumah kebajikan itu di Jalan Gurney 2, di sini.

Bercerita lanjut mengenai Maisarah, Roslailawati berkata, ketika menemui kanak-kanak itu, dia hanya ditinggalkan dalam keadaan berbalut dengan kain di depan pintu sebuah rumah yang dijadikan sebagai asrama untuk Maahad Akademi Tahfiz Al Hidayah yang juga miliknya.


ROSLAILAWATI Mohamad. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

“Dalam keadaan menggigil, saya mengambilnya dan membesarkannya sama seperti kanak-kanak lain yang ada di rumah ini.

“Mereka anugerah tidak ternilai buat saya. Mereka semua anak saya dunia dan akhirat. Walaupun mereka tidak lahir daripada rahim sendiri namun mereka anak kurniaan Ilahi yang menuntut perhatian lebih daripada hanya seorang penjaga makan dan minum,” katanya.

Selain anak yatim, rumah kebajikan itu turut memberi perlindungan kepada anak golongan miskin, anak tidak sah taraf dan ibu tunggal.

Katanya, mereka yang dibela menerusi rumah itu mendapat perlindungan berterusan dan bukan saja mendapat tempat berteduh, tetapi turut dibantu dari segi pendidikan.

“Setakat ini, ada dua rumah yang disewa untuk 87 kanak-kanak ini berlindung. Saya tidak mahu mereka terus dibiarkan dan gembira melihat setiap penghuni seronok kerana dapat memiliki sebuah keluarga besar dan lengkap dengan kehadiran orang tersayang.

“Paling saya bangga apabila ada penghuni yang berjaya dalam pelajaran masing-masing dan ada yang mengambil keputusan bekerja dengan saya,” katanya.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, mereka boleh berbuat demikian dengan menghulurkan sumbangan atas nama Pusat Jagaan Al Hidayah menerusi akaun Maybank (564212106416) atau Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah di akaun Bank Simpanan Nasional (1410041000175728).


KANAK-KANAK di Pusat Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah bermain bersama Roslailawati. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 6:33 AM