CINTA mengubah perwatakan Beto Kusyairy dalam KL Gangster: Underworld.
CINTA mengubah perwatakan Beto Kusyairy dalam KL Gangster: Underworld.
Syafil Syazwan Jefri


Jika bercerita mengenai karya tempatan sama ada drama atau filem, jalan ceritanya kebanyakan berteraskan cinta.

Ada penonton masih boleh menerima karya dengan jalan cerita sebegitu dan ada juga yang tentunya sudah muak.

Tidak hanya penonton, pelakon seperti Beto Kusyairy juga mengakui sudah muak dengan jalan cerita sedemikian, namun tidak menyalahkan watak yang ditawarkan.

“Saya bukan muak dengan watak cinta, tetapi dengan jalan ceritanya. Itulah yang dipaparkan dalam karya kita,” katanya.

Beto yang ditemui di set penggambaran siri asal Iflix, KL Gangster: Underworld berkata, dalam drama itu juga dia masih membawa watak yang dilamun cinta.

“Namun, saya pandang dari sudut berbeza. Watak Shah yang saya bawakan bergelumang dalam dunia gengster.

“Namun, sehitam mana hati seseorang manusia, tentunya akan ada rasa cinta dan Shah cuba menyelongkar perasaan itu,” katanya.

Sedikit sebanyak, watak Shah menunjukkan satu sisi berbeza yang lebih ‘lembut’ dalam diri seorang gengster, berbanding karya lain membabitkan watak sebegitu.

Bercerita mengenai KL Gangster: Underworld, ia berkisar mengenai Shah yang ingin keluar dari dunia gengster.

“Shah adalah gengster yang berpangkat leftenan dalam kumpulannya. Namun, apabila jatuh cinta dengan gadis bernama Elina, dia ingin membersihkan diri dan keluar daripada kumpulannya.

“Disebabkan itu, ada pula pihak yang tidak berpuas hati kerana Elina adalah anak buah kepada ketua kumpulan gengster lain yang diketuai Tauke,” katanya.

Ditanya sama ada karya ini ada kaitan dengan filem KL Gangster yang pernah menjadi fenomena sebelum ini, Beto memaklumkan ia ada kesinambungan.

“Ia kesinambungan daripada filem terdahulu. Tapi, 99 peratus watak yang ditampilkan dalam siri ini adalah baru,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran dalam melakonkan watak Shah, Beto berkata, dia perlu menjalani latihan dalam masa yang sangat suntuk.

“Waktu untuk saya menjalani latihan agak suntuk. Jadi, sehingga penggambaran berlangsung pun, saya masih lagi dilatih kareografer dan terima kasih juga kepada pelakon lagak ngeri yang banyak membantu.

“Menariknya, mereka menggunakan kelebihan saya dan apa yang saya mampu lakukan. Mereka tak akan memaksa saya melakukan aksi di luar kemampuan saya,” katanya.

Selain Beto, filem arahan pengarah, Faizal Ishak itu juga dibintangi pelakon hebat lain antaranya Ezzaty Abdullah sebagai Elina, Azhan Rani sebagai Tauke, Dynas Mokhtar sebagai Madam Wong dan ramai lagi.

Pertama kali bergandingan dengan Ezzaty, Beto mengakui pelakon itu sememangnya bekerja keras dalam menjayakan wataknya.

“Mudah bekerjasama dengan Ezzaty. Dia adalah pelakon yang serius dalam melakukan kerjanya dan tahu apa yang dimahukan oleh karakter serta pengarah,” katanya.

KL Gangster: Underworld yang menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Pahang dijangka ditayangkan pertengahan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 5:22 AM