Norrasyidah Arshad
am@hmetro.com.my


SUAMI Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri, dilepaskan selepas dijamin oleh adiknya, hari ini.

Terdahulu, Armin, 53, terpaksa meringkuk beberapa hari di Penjara Sungai Buloh kerana tidak dijamin oleh sesiapa selepas didakwa di mahkamah kelmarin atas kesalahan mencederakan anaknya pada 24 Februari lalu.

Pagi tadi, bekas pramugara itu sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan berdepan hukuman lebih berat selepas pihak pendakwaan meminda pertuduhan atas kesalahan itu yang dilakukan pada 24 Februari lalu.

Sebelum ini, Armin hanya didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau dua dari mana-mana seksaan itu.

Armin yang memakai baju kelabu serta berseluar jeans bagaimanapun mengekalkan pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin selepas pertuduhan pindaan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Armin yang bekerja sendiri, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam terhadap seorang anaknya dengan menggunakan rotan.

Perbuatan berkenaan dilakukan di rumahnya di Denai Alam, dekat sini, antara 8 malam hingga 10.30 malam, 24 Februari lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 326A KK.

Sabit kesalahan, dia yang diwakili peguam Muhammad Zufar Elias, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau sebatan.

Raja Noor Adilla mengekalkan ikat jamin yang ditawarkan sebelum ini iaitu RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 6 April depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Selasa lalu, di mahkamah sama, Armin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 324 KK kerana mencederakan anak lelakinya berusia sembilan tahun itu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dua dari seksaan berkenaan.

Armin dan Ziana mendirikan rumah tangga pada Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 5:26 PM