Mohd Hasbi Sidek dan Nurul Hidayah Bahaudin
cnesw@nstp.com.my


POLIS mengesahkan wanita yang membawa dua beradik berusia empat dan enam tahun ketika berada di tadika di Seksyen 16, Petaling Jaya, kelmarin adalah ibu kandung kepada kanak-kanak berkenaan.

Sumber polis berkata, mereka sudah meneliti beberapa aspek dan berdasarkan maklumat yang diperolehi sehingga kini, pihaknya mendapati wanita yang membawa kanak-kanak terbabit adalah ibu kandung mereka.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi kelmarin, dua beradik dikatakan dilarikan tiga individu tidak dikenali, termasuk seorang wanita ketika berada di tadika berkenaan.

Kehilangan Raheel Khan dan Aleya Reyhana disedari ketika ibu saudara mereka hadir untuk mengambil mereka pulang.

Namun ibu saudara kanak-kanak itu dimaklumkan oleh guru tadika ada seorang wanita datang mengambil adik-beradik berkenaan kira-kira 9 pagi atas alasan ingin membawa mereka untuk pemeriksaan kesihatan.

"Wanita itu mendakwa akan membawa pulang dua beradik berkenaan dalam masa sejam," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya sedang mengesan wanita terbabit untuk membantu siasatan.

Berita berkaitan:

'Maklumkan... jangan buat kami bimbang'

Dua beradik dibawa lari

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 3:32 PM