Ridzuan Abdul Rahman


PASANGAN pelakon sensasi Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin atau lebih dikenali sebagai Fattzura mengotakan janji mereka apabila mengadakan majlis resepsi kedua buat peminat di Royale Palace, Shah Alam, hari ini.

Dalam majlis itu, pasangan mempelai yang mengenakan pakaian berwarna lavender meraikan lebih 5,000 peminat dari pelbagai lokasi yang hadir.

Majlis resepsi itu berlangsung dua sesi iaitu sesi pertama sebelah pagi membabitkan kenalan terdekat, penaja dan tetamu kenamaan.

Manakala sesi sebelah petang pula membabitkan peminat mereka yang dijemput menerusi laman sosial Instagram milik Fattah dan Fazura.

Artis terkenal antaranya Khai Bahar, Yusrizan Usop atau Bob AF, Syura, Fazli Zainal turut hadir memeriahkan dengan nyanyian masing-masing.

Pasangan ini turut melakukan kejutan buat peminat yang hadir apabila berduet menyampaikan lagu Cinderella.

Majlis pernikahan pasangan itu berlangsung di hotel terkemuka pada 27 November lalu. Ia seterusnya diikuti majlis resepsi keluarga kedua-dua belah pihak di sebuah hotel di ibu kota pada 25 Februari 2018 yang dihadiri ramai rakan artis seperti Fasha Sandha, Lisa Surihani, Mira Filzah, Zarina Zainuddin, Datuk Shah Rezza, Alvin Chong, Hisham Hamid, Zizan Razak, Vanidah Imran, Datin Nina Juren, Datuk Aznil Nawawi dan dihadiri tetamu kehormat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri.

Pasangan berkenaan bertunang pada 13 November lalu di kediaman keluarga Fazura di Petaling Jaya, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 4:58 PM
FATTAH dan Fazura ceria melambai kepada tetamu sambil membuat kejutan berduet lagu Cinderella pada majlis resepsi mereka di Royale Palace, Shah Alam, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria & Nurul Syazana Rose Razman