MUHAMAD Amin (kanan) membantu adiknya Muhamad Anas Akil minum ketika ditemui di rumah datuknya di Kampung Sat Hulu, Tanah Merah, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


“IBU, abah sakit sebab kemalangan,” kata Muhamad Amin Syahiran, 4, yang kehilangan ibu bapanya dalam kemalangan jalan raya, semalam.

Muhamad Amin Syahiran yang leka bermain kereta mainan bersama adiknya Muhamad Anas Akil, 11 bulan berkata demikian ketika ditanya neneknya Sabariah Mamat, 60, mengenai ibu bapa mereka.

Kedua-dua beradik itu dilihat terus leka bermain sambil diperhati oleh datuk mereka Mat Nawi Salleh, 62, kerana masih belum mengerti kejadian yang berlaku sambil menyangka ibu bapa mereka masih bekerja.

Mereka kini bergelar yatim piatu selepas bapa Mohd Sazarim Mat Nawi, 31, dan ibu Nur Annisa Ismail, 27, yang sedang hamil dua bulan maut dalam kemalangan di Jalan Salor Baru, Kota Bharu, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 4.15 pagi itu, kereta Perodua Kancil dinaiki pasangan itu yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Tanah Merah hilang kawalan sebelum bertembung dengan Proton Waja di laluan bertentangan.

Pemandu Proton Waja, 44, yang cedera dikejarkan ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan lanjut.

Mat Nawi berkata, sejak semalam dua beradik itu masih belum bertanya mengenai ibu bapa mereka.

“Malam tadi, Muhamad Amin Syahiran tidur di rumah ibu saudaranya di Kampung Terasil, sementara Muhamad Anas Akil pula tidur bersama neneknya.

“Sejak kecil dua beradik ini memang rapat dengan saya dan isteri kerana ketika ibu bapanya bekerja, kami yang jaga mereka. Kini mungkin mereka menyangka ibu bapa tiada sebab sedang bekerja.

“Setakat ini, kami hanya mampu beritahu ibu dan ayahnya sakit sebab ‘accident’ (kemalangan) sahaja kerana mereka masih kecil dan belum faham perkara sebenar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sat Hulu, Tanah Merah, hari ini.

Bagi Sabariah, dia dan suami kini mengambil alih menjaga dua beradik itu seperti anak sendiri dan sama sekali tidak akan menyerahkan kepada orang lain.

“Sekiranya saya dan isteri sudah tiada selepas ini, saya berharap dua anak lain dapat menjaga mereka sebaik mungkin,” katanya.

Berita berkaitan

Mangsa maut hamil dua bulan

Ajal suami isteri bersama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 4:44 PM