LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


JUTAWAN kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri meminta maaf kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana meletakkan meja makan di laluan hadapan restorannya di Kota Damansara.

“Saya mengakui kesilapan dan ingin minta maaf kerana melanggar peraturan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Aliff yang juga pelakon berkata, tindakannya menambah jumlah meja sedia ada berikutan terlalu ramai pelanggan di restorannya.

“Oleh sebab harga makanan di restoran saya murah, setiap hari ramai orang datang sehingga berbaris panjang menunggu giliran.

“Saya tidak mahu mereka tunggu lama, jadi terpaksa menambah meja dan tempat duduk,” katanya.

Usahawan itu turut meluahkan kekecewaan kerana MPBJ didakwa tidak mengeluarkan notis terlebih dahulu, sebaliknya terus melakukan serbuan.

“Perasaan sedih ada, namun saya akur dan tidak mengamuk atau meroyan kerana cara itu bukan profesional.

“Ini pengalaman pertama peralatan perniagaan dirampas akibat aduan orang awam,” katanya.

Katanya, dia juga mempercayai ada pihak kurang berpuas hati terhadap perniagaanya disebabkan popularitinya.

“Saya percaya ada orang tergugat dan pihak berkuasa bertindak atas aduan. Namun ini adat dalam perniagaan dan saya sudah bayar saman," katanya.

Terdahulu, anggota penguat kuasa MBPJ menyerbu restoran Aliff di Kota Damansara pada 8.30 malam semalam kerana dipercayai meletakkan meja yang menghalang laluan.

Berita berkaitan

[UPDATE] Pemeriksaan bukan pilih bulu

Restoran Aliff Syukri diserbu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 10:32 PM