ANTARA  cosplay yang dihasilkan Kui Pin.
ANTARA cosplay yang dihasilkan Kui Pin.
Mohd Nazllie Zainul


Beaufort: Minat mendalam terhadap karektor anime mendorong seorang remaja menghasilkan kostum berasaskan adiwira.

Bermula dengan hobi membaca komik dan melukis kartun berasaskan anime sejak bangku sekolah, kini Gan Kui Phin, 20, menjadikan minatnya itu sebagai salah satu sumber pendapatan.

Mesra disapa sebagai Ahcai, anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia melukis karektor kartun berkenaan hampir setiap hari sekiranya mempunyai masa lapang.

“Pada mulanya dulu saya lebih suka melukis watak kartun seperti Naruto, Tokyo Ghoul, Dragon Ball dan Goku.

“Pembabitan saya dalam acara cosplay bermula senkitar 2015 apabila ada rakan mengajak menyertai pertandingan berasaskan anime dan adiwira.

“Namun disebabkan masih bersekolah di tingkatan lima dan harga bagi sebuah pakaian terlalu mahal, saya mengambil keputusan untuk menghasilkan sendiri dengan melihat cara membuatnya di YouTube,” katanya yang menjual cosplay mengikut bahagian iaitu serendah RM30 (topeng) sehingga RM100 (tangan).

Kui Phin berkata, minat serta asas mata pelajaran Pendidikan Seni yang dipelajari di sekolah menengah banyak membantunya dalam mewujudkan pakaian cosplay pada awal pembabitan menghasilkan kostum karektor anime.

“Selepas melihat tutorial, saya cuba mencari material sesuai bagi memulakan proses pembuatan. Material yang digunakan adalah cardboard memandangkan bahan ini mudah dibentuk serta murah, bersesuaian dengan bajet.

“Walaupun kumpulan kami tidak memenangi sebarang hadiah ketika itu namun ia bukan halangan untuk mencuba menyertai pertandingan sama pada tahun seterusnya,” katanya yang menghasilkan karektor Tokyo Ghoul.

Dalam pada itu, Kui Phin menyatakan dia sebenarnya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menjadikan hobi berkenaan sebagai sumber pendapatan utama, sebaliknya hanya gemar berkongsi koleksi cosplay yang dihasilkan di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 6:59 AM