HANNA juga tidak kisah jika ada peminat menyangka dia pelakon baru.
Sudirman Mohd Tahir

Selepas empat tahun dalam industri, baru kali ini nama pelakon Hanna Aqeela meniti di bibir peminat drama Melayu.

Kemunculan Hanna atau Hanna Aqeela Mohd Rosni, 28, dalam drama Kelip Kelip Kota London (KKKL) yang kini ditayangkan menerusi slot Zehra di TV3 mengubah kanvas kerjaya lakonannya.

Menurut Hanna, meski sebelum ini kerap diberikan watak utama, dia percaya rezeki dan tuah belum berpihak kepadanya.

Pada masa sama, Hanna bersyukur apabila tidak popular sekelip mata kerana bimbang tergolong dalam kelompok ‘cepat naik cepat jatuh’ seperti kebanyakan artis lain.

“Saya selalu dengar orang cakap, gosip atau kontroversi boleh menaikkan nama seseorang. Malah ia dapat menjadikan diri jauh lebih popular berbanding orang lain.

“Namun, saya bukan jenis begitu. Lagipun, keluarga dan orang sekeliling tahu saya macam mana. Minat saya dalam bidang lakonan, jadi fokus kepada kualiti dan hasil lakonan. Dalam erti kata lain, saya belum terdesak untuk popular.

“Banyak contoh depan mata yang seseorang pelakon cepat naik tetapi cepat jatuh. Kalau boleh, biarlah saya lambat dikenali dan kekal berada dalam industri. Bagi saya, ini lebih baik kerana penonton dan peminat sekarang sudah pandai menilai,” katanya.

Hanna berkata, dia juga tidak kisah sekiranya peminat beranggapan dia pelakon baru.

Bagi Hanna, ia sesuatu yang bagus kerana dia dikenali dalam keadaan sudah bersedia dari segi lakonan.

“Sejujurnya, saya ‘all out’ dalam drama KKKL ini. Terima kasih pihak Zeel Production kerana memberi peluang kepada saya. Dalam drama ini saya banyak bermain emosi yang tidak pernah dibuat dalam drama lakonan sebelum ini.

“Jadi, apabila orang mula mengenali saya dalam drama ini, saya okey dan bersyukur. Saya lebih suka orang bercakap mengenai lakonan dan pada masa sama mereka menganggap saya orang baru.

“Kiranya, apabila lambat naik memberikan satu kelebihan besar. Sekurang-kurangnya penonton tidak mengkritik lakonan saya,” katanya.

Hanna yang juga pelakon drama Love You Mr Arang mengakui apa dilalui sekarang adalah kerana tuah slot drama itu.

“Kebanyakan drama saya sebelum ini ditayangkan menerusi slot petang yang kurang mendapat sambutan. Berbanding pelakon baru lain yang diberi peluang muncul dalam slot popular iaitu sebelah malam.

“Jadi, apabila drama ini ditayangkan jam 9 malam, ia membuka ruang untuk saya ke depan. Saya percaya, drama ini secara perlahan-lahan akan memikat hati penonton kerana jalan ceritanya yang menarik,” katanya.

Kumpul peminat Indonesia

Menariknya, drama yang turut menampilkan Hafidz Roshdi itu sebelumnya ditayangkan di saluran tonton awal tahun ini.

Lebih membanggakan Hanna apabila dia berjaya mengumpul peminat dari Indonesia yang kebanyakannya mulai mengikuti kerjaya lakonannya.

“Saya tidak menjangka menerima maklum balas daripada peminat Indonesia. Kebanyakan yang menulis di ruangan komen adalah mereka.

“Sejak drama ini ditayangkan di tonton, mereka mula mencari maklumat mengenai saya. Mereka menonton semula drama lakonan saya sebelum ini. Malah, mereka memberika kata-kata semangat dan sokongan untuk setiap karya lakonan saya,” katanya.

Tidak ketinggalan peminat tempatan yang mula buka mata dan ingin mengenali dengan lebih dekat Hanna.

“Tipu kalau dikatakan saya tidak teruja dengan sambutan diberikan. Saya juga mengharapkan drama ini berjaya sekali gus membawa kejayaan kepada semua pihak terbabit.

“Saya beranggapan drama ini menjadi titik mula untuk saya mencapai apa diinginkan. Saya tidak mahu memasang cita-cita dan impian yang terlalu tinggi, cukup sekadar bakat dipandang dan dihormati. Jika menang anugerah, ia bonus,” katanya.

Memandangkan namanya mula dikenali, Hanna akui dia sedia berdepan segala kemungkinan terutama gosip atau kontoversi.

“Saya tidak takut dengan perkara ini. Selagi saya berada di pihak benar, saya sedia untuk berdepan. Kalau betul saya mengaku, jika sebaliknya saya akan cuba mempertahankan diri.

“Sebenarnya, dalam perkara ini hubungan dengan orang sekeliling amat penting. Malah menjadi prinsip saya untuk berbaik dengan semua orang terutama di tempat kerja. Alhamdulillah, tawaran berlakon tidak pernah putus.

“Paling penting juga, dengan siapa kita berkawan. Saya beruntung dipertemukan dengan orang positif,” katanya.

Perkembangan lain, Hanna bakal terbabit dalam drama Sepasang Awan Putih untuk siaran RTM dan Terbaik Dariku (TV3).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 9:56 AM