Rozi bersama Siti serta gambar tular palsu kononnya Siti bersama bayi yang dilahirkan hari ini. FOTO Instagram
Sudirman Mohd Tahir & Najiy Jefri


PENGURUS penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak menyelar tindakan segelintir pihak menularkan gambar Siti bersama seorang bayi.

Menurut Rozi, berikutan tersebarnya gambar itu ramai beranggapan bayi terbabit adalah puteri sulung Siti yang dilahirkan pagi tadi, hari ini.

"Jangan percaya apa yang tersebar. Seperti semua sedia maklum, Siti dan suami akan berkongsi wajah dan nama penuh anak mereka selepas tujuh hari kelahiran.

"Selagi gambar itu bukan daripada Siti, ia tidak sahih," katanya kepada Harian Metro.

Rozi berkata, kewujudan pihak menggunakan nama Siti untuk menyebarkan berita palsu bukanlah perkara baru.

"Saya tak faham apa tujuan sebenar pihak terbabit. Kalau boleh berhentilah mengelirukan orang lain. Jangan hanya kerana gambar berkenaan, semua orang terpedaya," katanya.

Sementara itu, Rozi ketika dihubungi Harian Metro menerusi program Sembang Sembang Comel Pipi Merah berkongsi wajah anak Siti serupa dengannya.

Malah, Rozi berkata Siti masih dalam pemantaun rapi kerana bersalin secara pembedahan.

"Alhamdulillah, keadaan anak Siti sangat baik. Wajahnya mirip Siti dan sangat comel. Siti sudah menyusukan anak. Saya dan ahli keluarga lain dapat melihat bayi di tempat jagaan bayi.

"Bercakap mengenai keadaan Siti, dia menjalani pemerhatian khusus daripada doktor kerana bersalin secara pembedahan. Ini prosedur biasa, jadi kami perlu hormati. Doakan semoga semuanya dalam keadaan baik," katanya.

Berita berkaitan:

Puteri sulung dah menyusu...

Fatimah Az-Zahra gelaran diberi

Siti Nurhaliza timang anak perempuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 8:15 PM