PETIKAN video parodi dihasilkan Aiman dan tweet daripada Russo Brothers (gambar kecil).
Aira Abdul
cnews@nstp.com.my


“KAMI peminat watak Marvel. Kami siapkan parodi itu dalam empat, lima hari termasuk berjaga sepanjang malam untuk suntingan terakhir.

“Idea kreatif datang mencurah-curah ketika kami memutuskan untuk melakonkan semula trailer itu.”

Begitulah kata-kata Aiman Sany Mohd Ikhsan berhubung lakonan semula trailer filem Marvel, ‘Avengers: Infinity War’ yang mendapat perhatian ramai termasuk pengarah filem Marvel itu.

Penghasilan klip video dua minit 20 saat itu sepatutnya dihantar bagi tugasan Bahasa Inggeris, namun bukan untuk pengedaran.

Aiman Sany memuat naik klip video berkenaan di Twitter, kelmarin dengan mesej khusus kepada @MarvelStudios: “Who did it better?” (Siapa yang lebih bagus?)

Tanpa disangka, parodi yang dihasilkan dalam lima hari menggunakan telefon bimbit itu mendapat perhatian dunia, khususnya peminat filem adaptasi komik Marvel.

Ia termasuk dua beradik yang juga pengarah terkemuka Hollywood, Anthony dan Joe Russo yang terkenal menerusi filem berdasarkan komik Marvel seperti Captain America: Winter Soldier, Captain America: Civil War dan Infinity War yang bakal ditayangkan.

Dalam nada berjenaka, pengarah terkemuka itu menerusi akaun @Russo_Brothers menulis: “Aiman. You guys are geniuses. Are you available to direct Avengers 5?” (Aiman. Anda semua adalah genius. Anda berkelapangan mengarah Avengers 5?)

Tanpa modal besar, Aiman Sany dan rakannya nyata memiliki daya kreativiti tinggi dalam melakonkan babak mirip trailer Infinity War, menggunakan prop seperti pinggan, penyepit kain dan paling menonjol pastinya bijirin Koko Krunch!

Parodi itu memaparkan petikan suara asal, namun lakonan semula menggunakan penyepit kain sebagai Infinity Stones dan pinggan menggantikan kesan sumpahan Doctor Strange.

Ketiadaan bajet untuk pengimejan berkomputer (CGI) diatasi dengan sehelai kertas hijau dilimpahi bijirin Koko Krunch bagi kesan lautan perwira bertempur di medan perang.

Aiman Sany melakonkan dua watak iaitu Black Widow dan Thor.

Bakal mencecah usia 20 tahun, Aiman Sany dan rakannya yang juga penuntut jurusan kejuruteraan Kolej MARA Seremban, menyifatkan pengalaman baharu ini sebagai menakjubkan.

“Kami saling memberi idea untuk menjayakan setiap babak. Saya buntu mencari rambut palsu perang. Tiba-tiba, saya terlihat selimut kuning rakan sebilik dan terus mencapainya!

“Ada babak yang agak sukar dilakukan kerana memerlukan pencahayaan semula jadi atau suasana gelap.

Pada masa sama, kami terpaksa menghadiri kelas,” katanya dihubungi akhbar NSTP menerusi panggilan video, semalam.

Aiman Sany mengakui mereka terkejut apabila klip video itu tersebar dengan pantas menerusi media sosial.

“Ramai rakan meminta kami membuat lebih banyak klip seperti itu tapi kami perlukan sokongan dan bajet. Oh, Malaysia Boleh!” katanya mengakhiri perbualan.


Klip itu dijayakan bersama Amir Haziq Rosthman, Umar Muhammad, Ammarul Mubsyir Anandzachery, Khairi Abu Bakar, Farhan Mirza Basir Ul Elmi, Khafiz Khairul Anwar, Khalis Ariff Mustapha Reza, Mohd Ariff Arshad Zulkifflee, Salman Muhammad Noor Azri, Adam Muqhriz Nor Iskandar Shah dan Luqmanul Hakim Azli.

Setakat 7.30 malam tadi, klip video yang dimuat naik menerusi akaun @awesomerawks itu mendapat 1.8 juta tontonan, hampir 58,000 retweet dan kira-kira 86,000 likes, selain lebih 1,500 komen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 1:34 AM