SCHA Alyahya.
SCHA Alyahya.
Sudirman Mohd Tahir

Figura bernama Scha Alyahya ini tidak perlu diperkenalkan lagi.

Sejak awal kemunculannya, Scha berjaya mencuri tumpuan dengan aura tersendiri.

Bukan saja cemerlang dalam bidang lakonan, malah Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, 35, turut mencipta magis dalam pengacaraan.

Tidak mustahil selepas 10 tahun berkecimpung dalam industri seni tempatan, nama Scha kekal utuh dan berada dalam kelas tersendiri.

Ketika bintang baru muncul bersilih ganti, Scha yang juga isteri kepada pengacara popular, Awal Ashaari tetap disenangi dan masih menjadi pilihan kebanyakan jenama besar melantiknya sebagai duta.

Walaupun senario sekarang kebanyakan artis berlumba-lumba mencipta kontroversi supaya terus kekal relevan dan diperkatakan, tidak bagi Scha yang sentiasa bijak mengatur strategi dalam bentuk lebih dihargai.

“Dalam perkara ini kalau sudah rasa diri ‘diam’ dalam industri, perlu pandai cari ‘job’. Saya sudah mempraktikkan perkara ini. Sebagai contoh, sekurang-kurangnya dalam setahun kena ada drama atau produk di kaca TV.

“Jika membabitkan media sosial media pula, perlu sentiasa aktif. Apatah lagi ketika ini semua perkara dikongsi di laman sosial. Pada masa sama, jika ada tawaran program berbentuk kemasyarakatan, tidak salah untuk turut serta.

“Tidak dinafikan, kuasa tular boleh meningkatkan populariti dalam sekelip mata, tetapi mahukah anda jika perkara yang diperkatakan berkenaan sesuatu yang negatif? Sejujurnya saya tidak mahu dan memang mengelak perkara sebegini,” katanya.

Menurut Scha yang juga pelakon Isteri Vs Tunang, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak yang memilih jalan itu jika ia adalah pilihan terakhir untuk memenangi hati peminat.

“Saya faham mereka yang terpaksa guna jalan singkat untuk mencipta populariti. Apatah lagi sekarang banyak saingan daripada artis baru dan muda. Kalau itu saja pilihan yang tinggal, terpulang pada mereka.

“Cuma kalau difikir semula, ada ramai artis lama yang kekal bertahan dan terus diminati tanpa menggunakan cara ini. Antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Anuar Zain dan Datuk Sheila Majid,” katanya.

SCHA Alyahya.
SCHA Alyahya.

Pada masa sama, Scha juga akur dan tunduk dengan kuasa tular yang kian menjadi trend dalam kalangan sekebriti.

“Tidak dinafikan ia memberikan kesan besar dan berkesan dalam kerjaya seseorang. Bagi kesan jangka panjang, orang akan ingat sampai bila-bila, sama ada baik atau buruk.

“Sebagai contoh, tindakan seseorang artis melakukan perkara yang dianggap keterlaluan sehingga tular di dianggap ‘dosa besar’. Dalam erti kata lain, kalau orang mulai tak suka, semua perkara nampak salah.

“Namun apa saya perasan, masyarakat kita mudah memaafkan. Emosi lebih menguasai diri jika seseorang buat permohonan maaf,” katanya.

Masih jadi pilihan

Berbicara soal kerjaya lakonan, Scha beruntung apabila pasarannya masih sama seperti 12 tahun lalu.

Malah, status Scha yang sudah berkahwin menjadikan kedudukannya sedikit berbeza.

“Apabila berlakon drama, baru saya tahu permainan. Macam sekarang, baru perasan pasaran saya masih sama seperti sebelum ini. Kalau dalam drama, pasaran saya 30 tahun ke atas dan bukan 20-an.

“Setiap tawaran yang datang akan ada dua pilihan iaitu bergandingan dengan pelakon baru atau artis seangkatan. Bagi saya, perkara ini bagus kerana saya tidak perlu bersaing dengan pelakon baru.

“Seperkara lagi, mungkin disebabkan status sudah berkahwin mereka meletakkan saya dalam kategori lain. Bagaimanapun, perkara ini atas pilihan masing-masing. Kalau pada usia sekarang sudah bersedia melakonkan watak ibu, terpulang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Scha bakal terbabit dalam supertele terbitan Astro yang menggandingkannya dengan Saharul Ridzwan.

Scha juga baru saja terbabit dengan dua karya yang bakal ditayangkan sempena sambutan Aidilfitri ini iaitu Tiamo Sweet Heart 100 Hari (Astro) dan Baju Raya Eksklusif (TV3).

“Alhamdulillah, jadual lakonan agak padat juga sehingga hujung tahun ini. Saya anggap ini rezeki. Selagi ada tawaran bersesuaian, saya cuba buat. Terima kasih juga kepada stesen TV dan penerbit yang masih mempercayai saya untuk bekerjasama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 3:02 AM