JASPER Supayah. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Norhayati Nordin

Selepas menyertai Akademi Fantasia 2016 (AF2016), Jasper Supayah mula mengatur langkah untuk menceburi dunia hiburan tanah air.

Namun, laluan yang ditempuh berliku hingga gadis berusia 25 tahun itu berasa lelah.

Gadis berdarah kacukan India-Cina ini mengakui pernah ‘menganggur’ selama tiga bulan. Situasi itu membuatkan dia tidak keruan.

“Selepas AF2016 berakhir, saya ditawarkan membintangi drama Semusim Rindu untuk Astro. Saya bawa watak antagonis yang mengundang kemarahan dan rasa meluat penonton.

“Teruk jugalah saya kena kecam gara-gara watak itu. Apabila drama habis, tidak ada tawaran berlakon selama tiga bulan.

“Jatuh terduduk saya dibuatnya kerana tiada kerja. Sumber kewangan memang terjejas ketika itu,” katanya.

Menurut Jasper, dek rasa kecewa, ibu bapa dan keluarganya di Johor berasa bimbang.

Namun, dia tidak menyangka rezekinya semakin murah apabila ditawarkan membintangi filem Polis Evo 2.

“Saya sangat gementar apabila bergandingan dengan ramai pelakon popular dan berpengalaman.

“Saya bimbang tidak dapat memberikan lakonan yang baik.

“Namun, sepanjang bekerja dengan produksi Polis Evo 2 itu saya mendapat kerjasama baik. Pengarah dan pelakon yang lain banyak membantu,” katanya.

Jasper juga akan muncul sebagai pelakon utama di samping Datuk Fizz Fairuz dalam drama Orang London Balik Kampung sebanyak 13 episod untuk RTM.

Dia turut membintangi dua telefilem iaitu Akhir Nanti dan Oh! My English Reunion.

Berbicara mengenai karier nyanyian, Jasper berkata minat itu tidak pernah luntur sebaliknya masih dalam proses mencari material sesuai.

Sukakan genre pop, Jasper berkata dia tidak mahu terburu-buru. Ujarnya, dia memilih membuat perancangan dengan teliti.

“Saya minat menyanyi sejak kecil. Atas sebab itu juga saya nekad mencuba nasib dengan menyertai uji bakat AF 2016 dan syukur terpilih sebagai peserta.

“Bagaimanapun, yang pasti kini rezeki saya lebih terarah pada bidang lakonan,” katanya.

Tidak gentar bersaing dengan selebriti Melayu, Jasper berkata setiap insan sudah ditetapkan rezeki masing-masing.

Apa yang perlu dilakukan adalah meningkatkan usaha, mengejar peluang dan jangan sesekali takut mencuba.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 3:22 AM