Ziana tanam sikap positif dan kena berfikir panjang. NSTP/NIK HARIFF HASSAN
Ziana tanam sikap positif dan kena berfikir panjang. NSTP/NIK HARIFF HASSAN
Ridzuan Abdul Rahman


"Alhamdulillah.... life has to go on dan move on. Kita kena fikir yang positif. Kes masih lagi berjalan dan saya tidak boleh cakap apa-apa lagi.

"Perkara ini sekarang dalam siasatan dan sama-samalah kita doakan yang terbaik," demikian kata Ziana Zain mengulas perkembangan kes membabitkan suaminya, Armin yang didakwa pada 6 Mac lalu atas tuduhan mencederakan anak lelaki mereka.

Ziana yang ditemui ketika menjayakan rakaman Konsert Dimensi Legenda Raya di Angkasapuri, RTM, malam tadi, dilihat mengambil pendekatan berhati-hati dalam mengulas isu ini.

Biarpun berdepan situasi mencabar, dia tidak menyembunyikan diri sebaliknya muncul menjayakan beberapa persembahan dan sedia bersemuka dengan pihak media yang menantinya.

"Saya tidak perlu nak sembunyikan diri kerana ini periuk nasi saya. Selain itu, saya juga ada tanggunggjawab terhadap peminat dan industri.

“Saya tidak boleh lemah kerana jika lemah saya akan kalah. Saya kena kuat demi masa depan dan anak-anak. Dalam hidup, saya kena tanamkan sikap positif dan sentiasa fikir benda-benda yang tidak dijangka," katanya.

Memandangkan kes masih berjalan, Ziana kelihatan agak berat untuk mengulas persoalan membabitkan hubungannya dengan Armin dan hanya memberikan jawapan selamat.

"Kes masih dalam proses mahkamah. Apa yang boleh dikatakan, setiap orang kena ada masa untuk berfikir.

"Dia (Armin) ada benda yang nak dibuat dan saya pun sama. Perkara itu sangat sensitif dan kena fikir betul-betul kerana apa yang dibuat membabitkan ramai pihak.

"Setiap orang pun ada benda yang nak dibuat. Jadi buat masa ini hanya tunggu perkara selanjutnya," katanya.

Tambah Ziana, dia kini perlu fokus pada kerja dan begitu juga suaminya kerana tiada apa yang boleh diulas buat masa ini.

"Situasi saya sekarang seperti go with the flow. Allah maha kaya dan kita tidak tahu apa perancangannya untuk masa depan.

"Ada baiknya kita fikir positif. Saya minta semua pihak mendoakan yang baik-baik untuk saya demi masa depan dan anak-anak serta segalanya," katanya yang kini turut sibuk dengan penggambaran drama bersiri Mak Cun 4.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 5:39 PM