ORANG ramai membeli dan menghisap rokok seludup yang mudah didapati. FOTO Halim Salleh
Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memiliki kuasa terbesar menguatkuasakan undang-undang berkaitan rokok sama ada menyeludup, memiliki, menjual rokok seludup, kontraban dan rokok palsu serta merokok di kawasan larangan di negara ini namun tindakan dijalankan hanya bermusim.

Di bawah bidang kuasa KKM, tindakan boleh diambil berdasarkan antara lain penjualan rokok di bawah harga minimum iaitu RM10 sekotak, grafik amaran kesihatan, kawalan kandungan tar dan nikotin.

Berdasarkan tinjauan dibuat Skuad Khas Harian Metro di beberapa daerah di negara ini termasuk Segamat dan Muar di Johor, Balik Pulau dan Bukit Mertajam di Pulau Pinang serta Selayang dan Gombak di Kuala Lumpur mendapati peniaga dan perokok tegar sudah terbiasa menjual serta menghisap rokok seludup seolah-olah tiada apa yang perlu dirisaukan.

Kebanyakan mereka ini merokok seperti biasa dan tanpa rasa segan atau takut menayangkan kotak rokok seludup yang dihisap.

Selain membeli rokok seludup di kedai runcit, pasar malam dan restoran, ada juga peniaga yang menjalankan perniagaan bergerak dengan menghantar bekalan kepada pelanggan di rumah atau tempat kerja.

Begitu terbuka dan murahnya rokok seludup ini, maka tidak hairan ia kini menguasai pasaran tempatan hampir 60 peratus. Jika diteliti, di kawasan luar bandar peratusan rokok ini sebenarnya lebih tinggi iaitu sembilan daripada 10 kotak rokok dijual adalah rokok seludup dijual pada harga RM2 hingga RM5 sekotak untuk 20 batang.

Bagi seorang peniaga yang ditemui di sebuah kedai runcit di Gombak berkata, dia biasa menjual rokok seludup kerana ia antara barangan paling laris dan pelajar sekolah turut membelinya.

“Bekalan juga mudah dapat. Saya pun tak tahu KKM ada kuasa. Yang saya tahu, KKM boleh tahan orang yang merokok di kawasan awam sahaja. Itu pun jarang dan hanya sekali sekala diadakan,” katanya.

Beliau berkata, boleh dikatakan di kebanyakan kedai runcit di kawasan ini menjual rokok seludup kerana permintaan tinggi dengan pelbagai jenama seperti John, Saat, U2 dan Canyon.

Katanya, sepanjang menjalankan perniagaan, tiada penguat kuasa KKM datang menjalankan pemeriksaan atau operasi mengejut.

Ketiadaan penguatkuasaan KKM turut diakui peniaga yang menjual rokok seludup di kawasan tinjauan di Segamat dan Muar di Johor, Balik Pulau dan Bukit Mertajam di Pulau Pinang serta Gombak di Kuala Lumpur. Lebih mengejutkan, peniaga terbabit juga tidak tahu undang-undang KKM.

“Kalau betul ada undang-undang ini, kenapa tiada operasi KKM? Sebab itu kita pun jual sahaja, tak ada sesiapa yang kacau kita,” kata mereka.

Seorang penduduk di Jementah, Segamat, Amirul Abdullah, 24, berkata, dia mula menghisap rokok seludup selepas kenaikan harga rokok sah secara mendadak beberapa tahun lalu.

“Rokok seludup pun berasap sama macam rokok sah. Memang kita tak tahu kandungan tar dan narkotin dalam rokok seludup, tetapi jika betul berbahaya kenapa KKM tidak ambil tindakan.

“Membeli rokok ini juga mudah, ada peniaga yang menjalankan perkhidmatan penghantaran. Biasanya saya beli sekarton untuk bekalan dua minggu. Kalau habis boleh pesan lagi.

“Yang kita tahu, KKM hanya bertindak terhadap kosmetik tiruan, susu formula palsu dan ubat tiruan. Ada notis di media. Tak pernah dengar KKM buat tindakan ke atas rokok seludup, jadi saya yakin tidak salah atau OK menghisap rokok ini,” katanya.


PENIAGA menjual rokok seludup ketika tinjauan wartawan di sekitar Kuala Lumpur. FOTO Hafiz Sohaimi

Manakala perokok tegar yang mahu dikenali sebagai Acai, 40-an, berkata, dia tak pernah terfikir hendak berhenti sejak dia memilih menghisap rokok seludup sejak lima tahun lalu.

“Asalkan berasap sudahlah. Lagipun rokok seludup mudah dibeli. Selepas menghisap rokok seludup, jumlah rokok yang saya hisap lebih banyak berbanding sebelumnya. Saya rasa sangat sukar untuk berhenti,” katanya.

Tinjauan lain di sebuah kawasan perumahan di Bandar Perda, Pulau Pinang mendapati ramai remaja yang dipercayai masih bersekolah dengan selamba menghisap rokok bersama rakan-rakan sebaya.

Ketika dihampiri didapati mereka menghisap rokok seludup yang dibeli pada harga RM4.50 sekotak dari kedai runcit berhampiran. Ini membuktikan penjualan rokok seludup kini berada pada peringkat parah kerana turut dihisap golongan muda.

Wartawan kemudian cuba mendapatkan pandangan seorang penduduk mengenai bahaya rokok seludup kepada perokok muda dan penduduk itu, Zahiruddin Abdul Aziz, 42, berpendapat pihak berkuasa terutama KKM perlu bertindak tegas mengekang penjualan rokok seludup murah kerana ia memberi kesan buruk kepada remaja.

“Rokok sah memang mahal, remaja ini tidak mampu beli. Jadi, untuk cuba merokok ialah menghisap rokok seludup.

“Bila dah hisap rokok payahlah nak berhenti. Tolonglah mana-mana agensi kerajaan bertindak demi menyelamatkan generasi muda ini.

“Tidak guna kerajaan naikkan cukai rokok dan akhirnya, perokok ini beralih ke rokok seludup. Ia merugikan, jika rokok mahal, jangan merokok, berhenti terus,” katanya.

Seorang penduduk di Selayang turut bersetuju yang cukai tinggi yang sepatutnya mengurangkan perokok nampaknya ‘memakan diri’ kerana secara langsung menimbulkan masalah rokok seludup yang kini sudah tidak boleh dikawal.

“Inilah masalah dengan negara kita ini. Undang-undang ada tapi perlaksanaan bagai melepas batuk di tangga. Kalau betul-betul nak kurangkan perokok, selepas naikkan harga sepatutnya buat kawalan betul-betul supaya perokok ini tak ada pilihan rokok murah. Jangan hanya meminta orang ramai jangan merokok kerana selagi rokok seludup yang murah dijual merata-rata selagi itulah jumlah perokok semakin tinggi. Setakat buat operasi tangkap orang merokok di kawasan larangan tak mencukupi kerana masalah utama adalah rokok seludup,” katanya.

Berdasarkan pakar pemakanan, rokok seludup didapati lima kali ganda kandungan kadmium iaitu bahan kimia yang digunakan untuk membuat bateri yang juga boleh menyebabkan kanser, merosakkan buah pinggang dan lapisan salur darah arteri.

Selain itu, berdasarkan kajian Jabatan Bioteknologi (Institut Sains Biologi) Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) ke atas lima jenama rokok iaitu Surya Gudang Garam, Nusantara Gudang Garam, Sampoerna, LA Lights dan Nusantara Menthol mendapati kandungan tar melebihi had dibenarkan.

Kajian juga mendapati sampel rokok Surya Gudang Garam mengandungi lebih daripada 45 miligram (mg) tar di dalam setiap batang rokok, satu jumlah sangat tinggi berbanding paras dibenarkan iaitu 15mg bagi setiap batang rokok.

Ketua penyelidik kajian itu Dr Chandran Somasundram dipetik berkata, langkah proaktif perlu dipergiatkan untuk mencegah rokok seludup kerana kesannya boleh membawa maut dengan kandungan tar, nikotin dan karbon monoksida yang jauh melebihi had dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 9:31 AM