MUHAMMAD Adam Rayyan Rizqi Muhamad Aiman Hakim yang kini berusia tiga tahun menderita penyakit hidrosefalus atau lebih dikenali sebagai penyakit kepala besar hanya mampu berbaring sahaja sejak dilahirkan. FOTO Ainal Marhaton Abd Ghani
Ainal Marhaton Abd Ghani


“KALAU nak dibandingkan pendapatan suami RM1,200 sebulan termasuk upah kerja lebih masa, dengan perbelanjaan merawat Adam, memang tidak sepadan.

"Perbelanjaan Adam sahaja lebih RM2,000 sebulan termasuk ubat khas yang harganya mencecah RM1,300, susu khas dan lampin pakai buang," keluh Nor Azira Abdullah, 21, ibu Muhammad Adam Rayyan Rizqi Muhamad Aiman Hakim, 3.

Suami Nor Azira, Muhamad Aiman Hakim, 24, bekerja sebagai Penolong Penyelia di kedai jualan peralatan rumah dan pendapatannya tidak mencukupi untuk membiayai keperluan rawatan Adam sepenuhnya.

Begitupun, ibu muda itu bersyukur kerana kerajaan negeri menanggung kos rawatan susulan anaknya yang menderita penyakit hidrosefalus atau lebih dikenali sebagai penyakit kepala besar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sejak berusia dua bulan.

"Adam juga mendapat bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan dapat mengurangkan beban kewangan dihadapi selain menerima wang sumbangan orang ramai," katanya kepada NSTP yang berkunjung ke rumahnya di Perumahan Kampung Mat Pahat, Tanjung Lumpur, Kuantan, hari ini.

Nor Azira juga terkilan apabila ada beberapa individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menggunakan nama anaknya itu membuat kutipan derma di masjid dan mengumpul produk makanan daripada pengusaha industri kecil sederhana (IKS) untuk membuat jualan amal bagi membantu meringankan beban kewangannya.

"Malangnya, apa yang kami harapkan tidak berlaku (terima sumbangan wang) apabila tidak satu sen pun yang kami terima daripada pihak berkenaan. Sudahlah kami mengalami masalah kewangan untuk perbelanjaan Adam, mereka dengan sewenang-wenangnya mengambil dan menafikan hak Adam," katanya.

Beliau berkata, kejadian berlaku awal tahun ini selepas kisah Adam tular di Facebook sehingga mendorong pihak berkenaan bertemu keluarganya dan berbincang mengenai aktiviti yang hendak dijalankan bagi membantu Adam.

Kisah Adam yang menderita penyakit itu sebelum ini mendapat liputan media termasuk Harian Metro sehingga mendorong kerajaan negeri menanggung sepenuhnya kos rawatan di HTAA sehingga kini.

Nor Azira yang mengambil keputusan berhenti meneruskan pengajian peringkat Diploma Perakaunan di universiti awam di Perak tahun lalu berkata, perubahan saiz kepala anaknya yang kini berusia dua tahun sembilan bulan dikesan ketika enam bulan di dalam kandungan dan dilahirkan melalui pembedahan dengan saiz kepala 49 sentimeter.

"Anak tunggal saya pernah menjalani pembedahan memasukkan tiub di bahagian kepala yang disalur ke pundi kencing selepas dua bulan dilahirkan apabila saiz kepalanya membesar sehingga 70 sentimeter. Dia tidak boleh terlalu kerap menangis kerana semua urat di kepala timbul kebiruan, begitu juga tidak boleh terlalu terdedah kepada cuaca panas," katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun CIMB Bank 7623494588 (Nor Azira Abdullah) atau menghubungi talian 01137573477.

Berita berkaitan

Berat ujianmu Adam

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 1:08 PM