KIAN terbuka dalam menata gaya dan bijak berbusana.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Fesyen dan penampilan sentiasa dititikberatkan mereka yang bergelar selebriti.

Bagi penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana, dia juga tak terlepas daripada berfesyen.

Pernah mencuba pelbagai fesyen, penyanyi lagu Terus Mencintai yang mesra disapa sebagai Nana ini mengakui dia semakin terbuka dalam menata gaya.

“Saya akui, dulu saya sangat pemalu walaupun untuk berfesyen. Sekarang saya lebih terbuka,” katanya.

Menggunakan khidmat penata rias, Tym Fatimah, Nana kini semakin bijak dalam berbusana.

“Dengan bantuan Tym, saya semakin berani mencuba gaya baru. Perlu juga untuk saya tahu mengenai fesyen bagi disesuaikan dengan peredaran masa,” katanya.

Ditanya mengenai per­saingan yang semakin sengit dalam industri muzik, Nana mengakui ia normal.

Namun, itu tidak membuatkannya terlalu terdesak untuk meraih peminat.

“Saya sedar persaingan semakin sengit tapi saya belum terdesak sehingga perlu membeli pengikut di Instagram atau jumlah tontonan di YouTube,” katanya.

Menurutnya, dia berkarya bukanlah untuk populariti semata-mata.

“Saya cuba hasilkan karya terbaik, tapi semua itu tetap bergantung kepada tuah juga. Kalau lagu sedap dan hebat tapi tak ada tuah, tak guna juga.

“Lagi satu, saya berkarya untuk kelangsungan hidup diri dan keluarga. Jadi, seni ini adalah punca rezeki saya. Itu lebih penting,” katanya.

Terbaru, Nana muncul dengan single baru ciptaannya, Hatiku Milikmu yang menampilkan dua pelakon iaitu Fikry Ibrahim dan Alvin Chong.

Walaupun muncul dengan beberapa lagu baru, Nana mengakui masih ramai peminat yang mahu mende­ngar dia mendendangkan lagu lamanya.

“Lagu lama seperti Memori Berkasih dan Paling Comel masih mendapat tempat di hati peminat.

“Sehingga ke hari ini, kalau saya buat persembahan di mana-mana pun, mesti mereka nak dengar lagu lama,” katanya.

Bagaimanapun, Nana berharap peminat akan terus menerima dan menyokong­nya untuk terus mekar dalam industri seni tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 9:58 AM